Minggu Sains Negara catat 6.41 juta pengunjung setakat ini – Arthur Joseph

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Seramai 6.41 juta orang pengunjung dicatat telah menghadiri Minggu Sains Negara yang meliputi pelbagai peringkat umur sejak ia dianjurkan pada tahun 2018.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi di bawahnya giat menjalankan pelbagai aktiviti dan program bersifat pendidikan bukan formal.

Menurutnya ini selari dengan usaha “Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi” yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan golongan belia dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Sejak tahun 2018, MOSTI telah menganjurkan Minggu Sains Negara bagi mewujudkan kesedaran, menanamkan minat dan membudayakan bidang berkenaan kepada golongan belia.

“Minggu Sains Negara akan diteruskan sebagai acara tahunan yang dilaksanakan dengan kolaborasi Kerajaan Negeri, Institusi Pengajian Tinggi, Badan Bukan Kerajaan dan pemain industri di setiap negeri menerusi pengisian program dan aktiviti secara fizikal dan secara maya,” katanya.

Arthur berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Mokhtar yang menyatakan apakah perancangan pihak Kementerian untuk melibatkan lebih ramai golongan belia dalam usaha menjayakan dasar sains, teknologi dan inovasi negara di dewan rakyat hari ini.

Selain itu Arthur berkata, Malaysia Techlympics juga merupakan inisiatif terkini MOSTI bagi merangsang minat belia terhadap bidang STEM secara pembelajaran tidak formal berkonsepkan pertandingan.

“Program ini juga sebagai langkah siap siaga golongan belia untuk memainkan peranan sebagai pelengkap kepada agenda STEM negara.

“Pada tahun 2022, Malaysia Techlympics telah berjaya mencatatkan penyertaan seramai 1.03 juta orang,” katanya.

Jelasnya tambahan itu juga, sebanyak 34.9 juta jangkauan digital di pelbagai rangkaian media sosial telah berjaya diperolehi.

“Bagi tahun 2023, program ini dirancang pelaksanaan mulai Julai dengan pelbagai penambahbaikan program menggunapakai pengaplikasian teknologi terkini.

Tambahnya lagi, MOSTI turut menggerakkan inisiatif Ruang Daya Cipta (RDC) di daerah terpilih seluruh negara yang sehingga kini telah menjangkau 15,000 penduduk luar bandar.

“RDC dilengkapi peralatan dan aplikasi STIE untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kemahiran serta menyediakan ruang praktikal kepada masyarakat untuk menggunakan teknologi.

“RDC dilengkapi kemudahan seperti makmal reka bentuk, makmal komputer, sudut inovasi, studio digital dan ruang latihan yang boleh digunakan secara percuma,” katanya.

Sehingga kini katanya, sebanyak 10 buah RDC telah dibangunkan termasuk satu di Sandakan Sabah, manakala pada tahun 2023 MOSTI mensasarkan sebanyak 10 buah RDC lagi akan dibangunkan dan dua daripadanya di Negeri Sabah.

“Pada tahun ini, sedikit kelainan ditonjolkan di mana MOSTI akan menganjurkan Program Kembara Sains Sabah dengan menjelajah ke enam buah daerah terpilih di seluruh Sabah dengan membawakan pengalaman sesebuah Pusat Sains dan Planetarium kepada masyarakat di luar bandar.

“Program ini dijangka dapat menarik kehadiran seramai 10,000 orang termasuk pelajar, guru serta orang ramai,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat