Agenda Bumiputera 5G tergendala kerana Putrajaya mahu ‘bebas’ ikut desakan taikun telko

- Advertisement -

Pada Mac 2022, apabila Lim Guan Eng daripada DAP mempersoalkan tindakan Putrajaya memperuntukkan sekurang-kurangnya 61% kontrak pelaksanaan 5G digerakkan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk kontraktor Bumiputera, tidak banyak kekecohan yang timbul selepas itu.

Mungkin kerana ketika itu DAP -Pakatan Harapan bukan kerajaan semasa, maka setiap ulasan dan bantahan terhadap Agenda Pemerkasaan Bumiputera perlu dilakukan dengan penuh hati-hati.

Tetapi, sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan berkuasa di Putrajaya, antara semakan semula yang mahu dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah berkaitan “monopoli” dan “ketelusan” perolehan dan pemberian kontrak dibuat DNB.

Tuduhan “monopoli” ini sudah dijelaskan oleh Ralph Marshall, bekas CEO DNB yang menyifatkan matlamat utama pelaksanaan rangkaian 5G adalah bagi menjadikan internet di Malaysia sebagai utiliti awam demi kemakmuran rakyat dan ia hanya boleh dicapai melalui sebuah syarikat berkepentingan kerajaan yang tidak mementingkan keuntungan serta mengelak pelaksanaan 5G dilewatkan oleh ketamakan syarikat telekomunikasi yang sudah terbukti gagal mengutamakan kepentingan awam berbanding keuntungan dalam pelaksanaan rangkaian 4G sebelum ini.

Tuduhan “ketelusan” pula ini sudah dijawab berulang kali DNB, siap memberikan nilai sebenar tawaran dibuat Ericsson untuk menjadi kontraktor utama 5G Malaysia, kemenangan syarikat itu berdasarkan merit dan murah RM 700 juta daripada pembida terhampir.

Tetapi, semua fakta ini tidak langsung dipandang kerajaan Anwar dan sekutunya.
Maka, sejarah 5G negara berubah apabila pada 3 Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan peralihan pemborong rangkaian tunggal (SWN) kepada dwirangkaian (DWN) seawal Januari 2024.

Sebaik sahaja pengumuman itu dibuat, CelcomDigi dan yang terbaru Telekom Malaysia Berhad mengumumkan pembatalan langganan saham DNB, sekaligus mengagalkan usaha kerajaan terdahulu bagi mendorong syarikat telekomunikasi memegang kepentingan dalam DNB yang akan memastikan kepentingan utama DNB menjadikan internet 5G sebagai utiliti berkepentingan awam dapat dicapai.

Bermula tahun hadapan atau apabila liputan 5G dibuat DNB mencapai 80%, persekitaran industri telekomunikasi tidak akan berubah, syarikat telekomunikasi berobjektifkan keuntungan tanpa sempadan masih mendominasi, internet masih utiliti awam yang mahal dan agenda pemerksaan Bumiputera terus dipinggirkan.

Jika dahulu, DNB mempunyai syarat 61% kontrak diberikan kepada kontraktor Bumiputera yang layak, pada akhir 2021, sebanyak 56 syarikat Bumiputera menerima manfaat hasil langkah ini. Malah TERAJU meletakkan sasaran dasar ini akan memberi manfaat bernilai RM650 bilion kepada usahawan Bumiputera menjelang 2030.

“Golongan Bumiputera yang mempunyai kepakaran dan merit harus diberikan ruang dan peluang agar tidak tercicir dari bersama-sama menjulang pembangunan negara ke gerbang ekonomi masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Datuk Md Silmi Abd Rahman dalam satu kenyataan.

“Projek 5G nasional adalah sebuah projek mega kerajaan yang bernilai hampir RM20 bilion, dan berpotensi untuk berkembang sehingga RM50 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya lagi.

Tetapi, dengan peralihan kepada dwirangkaian, dalam kata-kata Fahmi demi “pasaran bebas dan yang terbaik akan menang”, Entiti B (konsortium syarikat telekomunikasi) masih tidak diketahui samada mempunyai syarat sama. Hanya Putrajaya boleh menjawabnya dan buat masa sekarang satu kepastian adalah Agenda Pemerkasaan Bumiputera dalam pelaksanaan rangkaian 5G tergendala.

Persoalannya adakah Entiti B konsortium syarikat-syarikat telko akan sudi meletakkan agenda pemerkasaan Bumiputera dalam strategi perniagaan mereka? Mampukan Task Force terbaru dibentuk Fahmi disertai syarikat telekomunikasi akan sudi membincangkan dan melaksanakan agenda Bumiputera?

Mungkin yang hanya akan ada adalah Pakej Rahmah 5G, tindakan berunding harga internet yang tidak habis-habis, tiada perancangan jangka panjang dan terus-terusan tunduk kepada syarikat telekomunikasi.

Sudah berdekad lamanya kita Merdeka, tetapi penglibatan Bumiputera dalam industri teknologi tinggi dan bernilai besar terus rendah, peluang wujud dalam pelaksanaan rangkaian 5G dibuat DNB dengan pelan pemerkasaan agenda diketuai TERAJU, tetapi semua nampaknya tergendala dengan keputusan Putrajaya mahu “membebaskan pasaran”, walau apa sahaja maksudnya istilah itu.

Han Rosdi,
Pekan, Pahang

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat