Oleh Zihan Zari
IPOH – Dua pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO), Jackie Chua Ming Xin, dan Nur Harith Danish Norismawandi melakar kejayaan bermakna apabila berhasil merangkul Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan Pertandingan Asasi Innotech Challenge 2025 (ASIC 2025).
Jackie dan Nur Harith Danish diberi bimbingan oleh penyelianya, Nur Hidayah Othman telah menghasilkan projek inovatif ‘Auratrack’ mengatasi 112 pelajar Asasi PUO yang menyertai pertandingan itu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM300 bersama trofi dan sijil penghargaan.
Pertandingan ASIC 2025 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, PUO dekat sini baru-baru ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Pengarah (Akademik) PUO, Norman Zamri.
PUO dalam kenyataannya memaklumkan penganjuran ASIC 2025 merupakan manifestasi komitmen PUO dalam memperkasa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta menyemai budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
“ASIC 2025 adalah bukti bahawa dengan sokongan pihak kerajaan dan kerjasama pelbagai pihak, pelajar politeknik mampu mencipta impak besar dalam dunia teknologi dan inovasi.
“Pertandingan ini telah menghimpunkan pelajar Semester 2 Asasi Teknologi Kejuruteraan bagi sesi akademik 2024/2025.
Ia dianjurkan oleh Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) melibatkan pelajar asasi PUO, penyelia projek serta panel penilai daripada kalangan pakar industri dan akademik, ”katanya.
“Penganjurannya turut menerima sokongan padu dan komitmen daripada Menteri Besar Perak, sekaligus memperkukuhkan usaha pembangunan bakat muda dalam bidang teknologi dan inovasi.
“Sokongan ini mencerminkan keyakinan Kerajaan Negeri terhadap TVET sebagai pemacu kemajuan negara,”katanya lagi
“Melalui pertandingan ini, pelajar membangunkan produk akhir yang menggabungkan elemen perisian dan perkakasan, meneroka teknologi baharu dalam memenuhi keperluan pengguna.
“Pelajar turut diasah untuk memahami konsep pengkomersilan, penyelidikan dan inovasi secara holistik,”ujarnya.
“Selain menjadi medan pembentangan hasil kerja, ASIC 2025 juga menyumbang secara langsung terhadap pembangunan pelajar berciri holistik selaras dengan matlamat Politeknik dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
“Inisiatif ini bertepatan dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam teras Pembangunan Modal Insan & Belia, yang menekankan pelaksanaan program pembangunan kemahiran.
“Selain itu, kebolehpasaran belia negeri ini melalui TVET dan inisiatif pembangunan kepimpinan dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing serta berkemahiran tinggi,”ujarnya lagi. – SUARA.TV