KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah untuk mengambil tindakan segera dengan menebang pokok-pokok yang berisiko di Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata demikian susulan susulan insiden pokok tumbang yang berlaku di ibu negara tadi.
Menurutnya DBKL juga perlu menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang selain menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia yang dijangka siap pada Julai 2024.
“Susulan insiden pokok tumbang hari ini yang hanya berselang seminggu dari insiden di Jalan Sultan Ismail, saya telah mengarahkan DBKL untuk mengambil tindakan segera dengan menebang pokok-pokok yang berisiko tinggi di Kuala Lumpur.
“Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL juga perlu memperincikan program penggantian semula pokok termasuk dengan meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok tersebut utuh dan selamat untuk jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu sekitar jam 3.50 petang pokok dari spesis Ficus sp (ara) tumbang di Pocket Park, Jalan Pinang dan menutupi hampir keseluruhan jalan.
9 buah kenderaan iaitu 4 buah kereta dan 5 buah motosikal terlibat dalam insiden tersebut.
Walau bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Seramai 20 orang kakitangan DBKL berada di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan dan pengalihan pokok.
Mereka merupakan kakitangan DBKL dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal.
Buat masa ini, kerja-kerja pengalihan dahan pokok masih dilakukan.
Turut berada di lokasi ialah anggota daripada agensi sahabat seperti Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, dan Polis Diraja Malaysia.