Idealisme Najib Dan Anwar Mampu Jadi Dasar Negara – Zahid

KUALA LUMPUR – Dari segi idealisme kedua duanya mempunyai perkongsian idealisme, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui selepas Program Debat Perdana di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC).

Menurutnya, soal yang timbul kini adalah bagaimana untuk menginterpretasikan dan juga cara melaksanakannya.

“Mereka merupakan dua orang sahabat lama yang berada dalam pentas yang berbeza sekarang.

“Saya lihat jika kombinasi idea diantara kedua dua tokoh ini dapat diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan sebuah pembentukan idea dan juga kerangka yang menjadi dasar negara, saya rasa tidak akan timbul lagi di masa hadapan soal titik bengik, soal cabang serta ranting yang menghantui pemikiran rakyat.

Zahid turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur Debat Perdana dan meminta agar terus diadakan wacana intelektual seperti ini bagi menjawab segala persoalan rakyat.

“Pada saya prinsip perbahasan yang memberikan 4 segmen ini dilihat sebagai suatu proses kematangan politik.

“Tentunya wacana intelektual harus diadakan dengan lebih kerap supaya kita bukan hanya mahu merungkai permasalahan tetapi agar rakyat dapat diberi kefahaman biarpun tafsiran dan pandangan berbeza,” katanya.