CYBERJAYA — Embassy of Iran in Malaysia menzahirkan penghargaan kepada rakyat dan kerajaan Malaysia atas bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada rakyat Iran, disifatkan sebagai amat bermakna ketika negara itu berdepan situasi sukar.
Menerusi satu hantaran di platform X, kedutaan tersebut memaklumkan bahawa bantuan yang diberikan telahpun sampai kepada rakyat Iran dan memberi impak besar kepada mereka yang terjejas.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan kerajaan Malaysia. Kebersamaan dan empati anda semasa waktu sukar tidak dapat dilupakan bagi kami. Bantuan kemanusiaan anda telah sampai kepada rakyat Iran dan semua ini sangat berharga bagi kami,” menurut kenyataan yang dimuat naik.
Dalam video yang disertakan, pihak kedutaan turut menegaskan bahawa bantuan tersebut bukan sahaja memberi sokongan fizikal, malah menjadi “penawar bagi luka” yang dialami rakyat Iran.
“Dengan hati yang penuh rasa syukur, kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan kerajaan Malaysia… bantuan kemanusiaan anda telah sampai kepada rakyat Iran dan menjadi penawar bagi luka mereka,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut kedutaan, penyertaan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat — sama ada sumbangan kecil mahupun besar — menunjukkan solidariti yang tinggi terhadap rakyat Iran.
“Ratusan daripada anda, mengikut kemampuan masing-masing… turut serta dalam usaha ini dan semua ini amat kami hargai,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, empati tulus rakyat Malaysia serta kefahaman terhadap situasi yang dihadapi Iran merupakan antara perkara yang paling dihargai.
Hantaran tersebut turut mencerminkan hubungan dua hala yang terus kukuh antara Malaysia dan Iran, khususnya dalam aspek kemanusiaan dan solidariti antarabangsa.



