KUALA LUMPUR – Apabila kes mahkamah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ia sekali gus menguntungkan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim malah mencadangkan kes mahkamah Presiden Umno itu ditangguhkan sehingga Zahid tamat menjalankan tugas bagi jawatan itu.
Kata Shahidan, apabila ditangguhkan rakyat akan bertambah marah seterusnya memberi kelebihan dan menguntungkan PN.
Pada masa sama katanya, sekiranya kes membabitkan Zahid masih diteruskan, ia akan memberi imej tidak manis bagi seorang pemimpin negara untuk naik turun mahkamah bagi menghadapi pertuduhan tersebut.
“Saya dulu jadi orang pertama yang minta agar kes Zahid ini ditangguhkan sehingga beliau tamat menjadi Timbalan Perdana Menteri, orang Umno tak minta pun.
“Sebab tak manis bagi seorang pemimpin negara untuk didakwa di mahkamah,” lapor Utusan di Perlis malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan perbicaraan rasuah Zahid yang kini di peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi ditangguhkan ke bulan Ogos bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.
Zahid didakwa atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak, Shahidan berkata, setiap pihak mempunyai hak bagi memohon pengampunan diraja namun keputusan berhubung perkara itu hanya diputuskan oleh Jawatankuasa Pengampunan.
“Mereka berhak untuk minta (pengampunan) tapi akhirnya terpulang kepada jawatankuasa untuk membuat keputusan,” katanya.