Janji Wali Band

- Advertisement -

LEBIH lima tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur, undangan menjayakan konsert Dream Festival Collaboration Vol.2 disifatkan Wali Band dari Indonesia peluang bermakna.

Pemain dramnya, Ihsan Bustomi atau Tomi dalam sidang media virtual baru-baru ini berkata, mereka terharu diundang mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Pada masa sama teruja berkongsi pentas dengan kumpulan tempatan iaitu Floor88.

Dream vFestival Collaboration Vol 2 akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Mei ini menyaksikan Wali Band bakal beraksi selama satu setengah jam membawakan pelbagai pilihan lagu popular dan terbaru mereka.

“Kami masih meneliti senarai lagu yang menjadi kegemaran peminat di Malaysia. Kami turut mendapatkan pandangan peminat, terutama di media sosial mengenai lagu yang disukai mereka.

“Dari situ, kami akan rangka konsep persembahan yang bersesuaian untuk memberi kepuasan kepada peminat di sana, apatah lagi kami sudah hampir enam tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain Tomi, kumpulan terbabit yang sebelum ini dikenali sebagai Fiera turut dianggotai Farhan Zainal Muttaqin atau Faank (penyanyi), Aan Kurnia (Apoy/gitar) dan Hamzah Shopi (Ovie/keyboard).

Memulakan karier muzik pada 1999, populariti Wali Band membawa mereka mengembara ke rantau Asia, termasuk Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong untuk mengetengahkan muzik mereka.

Mengulas kerjasama bersama Floor88, Tomi berkata, mereka berbangga dapat berkongsi pentas dengan kumpulan hebat Malaysia yang populariti mereka turut menular di Indonesia.

 

FLOOR88 bangga kongsi pentas dengan Wali Band.
FLOOR88 bangga kongsi pentas dengan Wali Band.

 

“Lagu Floor88 tidak asing bagi kami dan peluang bertemu serta bersilaturahim menerusi Dream Festival Collaboration Vol.2 ini kami anggap sebagai penghargaan besar. Kami senang sekali dapat bekerjasama dengan band yang paling hype di Malaysia ini.

“Apa yang penting, lagu yang dipilih nanti akan membuatkan peminat yang datang senang dan puas melihat persembahan kami,” katanya.

Wali Band yang bakal mempersembahkan sekitar 15 hingga 17 lagu popular juga berharap acara itu yang turut disokong Suria FM sebagai stesen radio rasmi akan menjadi acara yang meriah serta menghiburkan peminat di negara ini.

Antara lagu popular Wali Band termasuk Doaku Untukmu Sayang, Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu.

Sementara itu, Floor88 pula menyifatkan tawaran beraksi bersama Wali Band sebagai peluang keemasan. Apatah lagi karya kumpulan popular Indonesia itu sentiasa menjadi rujukan mereka.

“Kami bersyukur terpilih untuk berkongsi pentas dengan nama besar seperti Wali Band. Ini peluang keemasan buat kami menimba pengalaman dengan kumpulan yang sudah 24 tahun bertahan dalam industri muzik.

“Sudah tentu kami tidak sabar bertemu pemuzik yang menjadi rujukan kami sejak di bangku sekolah lagi. Berkongsi pentas bersama mereka adalah penghormatan besar dan kami akan buat yang terbaik untuk konsert itu nanti,” kata penyanyinya, Ayie.

Selain Ayie, Floor 88 turut dibarisi Eric Fuzi (keyboard), Achoi (gitar), Falique (bass), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Eric berkata, disebabkan terlalu teruja, mereka terus bersetuju sebaik menerima pelawaan beraksi bersama Wali Band.

“Ramai yang menanti kemunculan mereka di sini. Pastinya menerusi kerjasama ini, kami berharap ia akan memberi impak baharu terhadap industri muzik Malaysia dan Indonesia.

“Muzik itu universal dan menjadi penyambung manusia sejagat. Mana tidak, muzik yang dibawakan Wali Band dan Floor88 tidak jauh beza apabila menyatukan unsur humor dan mesej yang jarang diketengahkan pemuzik lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek DreamFestWorld, Rama Ananda Ambri berkata, konsert itu menjadi titik penting buat pengkarya muzik Malaysia dan Indonesia dengan gandingkan dua nama popular popular berkenaan.

Rama Ananda atau mesra disapa Anda berkata, besar harapan mereka untuk melihat Dream Festival

Collaboration menjadi sebuah jenama yang utuh, sekali gus meraikan karya hebat pemuzik serantau.

Sehubungan itu, katanya, mereka menyimpan impian besar untuk membawa bakat dari Malaysia beraksi dalam siri persembahan Dream Festival di Indonesia kelak.

“Kami berharap inisiatif yang digerakkan Inspire IDN ini dapat meninggalkan memori indah, sekali gus memberikan apresiasi terhadap usaha pengkarya seni kedua-dua negara menerusi perkongsian idea dan persembahan,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat