Prestasi Kewangan Kerajaan Kelantan Meningkat Kepada RM72.19 Juta Pada 2018

- Advertisement -

KOTA BHARU – Prestasi kewangan kerajaan negeri Kelantan secara keseluruhannya meningkat kepada RM72.19 juta pada 2018, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara.

Laporan mengenai penyata kewangan kerajaan negeri dan prestasi kewangan agensi negeri Kelantan bagi tahun 2018 itu menyebut bahawa secara keseluruhan, baki Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2018 telah meningkat sejumlah RM9.47 juta atau 15.1 peratus menjadi RM72.19 juta pada tahun 2018 berbanding RM62.72 juta pada tahun 2017.

“Kerajaan Negeri mencatat lebihan di Akaun Hasil Disatukan sejumlah RM40.46 juta pada tahun 2018 berbanding lebihan berjumlah RM38.82 juta pada tahun 2017. Lebihan ini berpunca daripada peningkatan kutipan hasil berjumlah RM586.94 juta berbanding perbelanjaan mengurus yang berjumlah RM546.49 juta.

“Pada tahun 2018, Hutang Awam telah mencatatkan peningkatan sejumlah RM13.87 juta (satu peratus) kepada RM1.435 bilion berbanding RM1.421 bilion pada tahun 2017.

“Peningkatan ini disebabkan kerajaan negeri telah menerima pinjaman untuk projek bekalan air dan Projek Pembinaan Istana Negeri Kelantan yang baharu,” kata Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Dis tahun lalu setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seterusnya mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V untuk dibentang di Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.

Nik Azman dalam laporan itu menyatakan Pengesahan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri  Pengauditan yang dijalankan mendapati Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2018 telah diberi Pendapat Tanpa Teguran.

“Penyata kewangan tersebut menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Kelantan dan rekod perakaunan telah diselenggarakan dengan lengkap dan kemas kini,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, bayaran balik hutang dibuat pada tahun 2018 berjumlah RM5.74 juta.

“Berdasarkan 22 Penyata Kewangan Agensi Kerajaan Negeri Tahun 2018, sebanyak 21 telah selesai diaudit. Sebanyak 20 penyata kewangan telah diberikan Sijil Tanpa Teguran dan satu penyata kewangan telah diberikan Sijil Berteguran. Manakala satu penyata kewangan masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Menurut Nik Azman, secara keseluruhannya, pengauditan yang dijalankan telah menunjukkan penambahbaikan dalam pelaksanaan aktiviti jabatan negeri seperti penetapan asas-asas yang jelas dalam pelaksanaan aktiviti atau program.

Bagaimanapun, katanya, sasaran/objektif aktiviti yang ditetapkan belum dapat dicapai sepenuhnya, selain terdapat beberapa isu ketidakcekapan dalam pengurusan aktiviti.

Bagi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 2 ini, sebanyak satu pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di Negeri Kelantan iaitu Permodalan Kelantan Berhad.

“Semua pegawai pengawal/ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan.

“Exit Conference juga telah diadakan bagi tujuan membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit,” katanya sambil menambah ia bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh ketua jabatan berkenaan.

Beliau berkata Jabatan Audit Negara juga telah mengemukakan 10 syor terhadap pengurusan aktiviti jabatan/agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

-Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat