Boleh Tamat PKP Jika Kes Sembuh Tinggi Berbanding Kes Baru Covid19 – Pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan jika jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini terus menurun, manakala kes sembuh meningkat mengatasi kes baharu bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata trend penurunan itu tidak boleh diukur dalam tempoh dua atau tiga hari, sebaliknya perlu selaras dengan tempoh inkubasi virus COVID-19 iaitu selama 14 hari.

“Sudah tentu paling ideal ialah kes menurun hingga angka kosong dalam tempoh dua minggu, tetapi itu tidak realistik.

“Namun kita boleh jadikan penurunan kes baharu COVID-19 berbanding kes sembuh, sebagai antara petanda menggambarkan jumlah kes aktif serta bilangan individu yang memerlukan rawatan semakin berkurangan.

“Jika PKP ditamatkan berdasarkan penurunan kes selama beberapa hari sahaja, saya khuatir ia tidak menggambarkan situasi sebenar dan berisiko untuk berlaku semula jangkitan dan kluster baharu hingga PKP terpaksa dilaksanakan semula,” katanya kepada BH, hari ini.

Dr Awang Bulgiba turut menekankan beberapa faktor lain sebelum PKP boleh ditamatkan, antaranya memastikan pengasingan dan kuarantin yang sempurna bagi semua kluster jangkitan COVID-19, selain kesiapsiagaan kerajaan mengawal penularan kes import.

“Antara kluster yang perlu dibendung adalah membabitkan warga asing. Kita perlu pastikan semua warga asing sama ada sah atau tidak, faham mesej yang ingin disampaikan seperti penjarakkan sosial, memakai topeng muka, membasuh tangan dan menjaga etika batuk.

“Kita juga perlu bersedia mengatasi penularan semula COVID-19 oleh warga asing, contohnya dari negara jiran, yang datang ke negara ini sama ada melalui pintu masuk sah atau menerusi lorong tikus.

“Negara jiran ketika ini menyaksikan ledakan kes yang ketara dan warga negara itu berisiko mencetuskan kluster kes import di Malaysia selepas PKP berakhir,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan perlu merangka prosedur atau garis panduan baharu bagi sektor industri dan pendidikan dalam berdepan ‘kebiasaan baharu’ untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, dengan turut mengambil kira kemungkinan wabak ini atau epidemik lain, kembali tercetus pada masa depan.

Bagi industri pula, beliau berkata kerajaan perlu melaksanakan taksiran risiko bagi mengenal pasti industri yang berpotensi terdedah kepada jangkitan COVID-19 dan sebaliknya, sebelum menyediakan panduan untuk membenarkan mereka kembali beroperasi.

“Kerajaan juga mungkin boleh memperluaskan aktiviti bagi sektor yang dibenarkan beroperasi sebelum ini, sekiranya tiada kes baharu direkodkan.

“Sekolah dan universiti pula, memerlukan perubahan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, dengan menggariskan kaedah ia dilaksanakan secara dalam talian, bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan mahasiswa.

“Kaedah penilaian pelajar juga perlu berubah, antaranya bagaimana peperiksaan boleh dilaksanakan dalam cara berbeza yang mengurangkan risiko jangkitan,” katanya yang menggesa semua perkara itu dirancang bermula sekarang

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat