Warga tentera darat wajar ambil ibrah Peperangan Badar – PTD

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Sesungguhnya, syariat puasa bukan sekadar dari lapar, dahaga semata-mata bahkan ianya lebih dari itu. Cerminan takwa melalui kewajipan berpuasa ini perlu dizahirkan dengan melakukan seruan Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata demikian di Majlis Perjumpaan PTD Bersama Warga Markas Tentera Darat (MK TD) sempena Ramadan Al-Mubarak 1445H di Auditorium Wisma Pertahanan pada Isnin.

Beliau berpesan dan memetik ayat al-Quran berhubung perintah untuk berpuasa ayat 183 surah al – Baqarah, “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

“Saban tahun kita mendengar ayat ini samada di masjid, majlis ilmu mahupun di platform media sosial yang menjelaskan Ramadan bulan tarbiah untuk membentuk takwa di kalangan umat Islam.

“Ia merupakan refleksi puasa yang kita laksanakan seharusnya memberi kesan kepada jati diri setiap individu yang beriman. Seruan takwa ini seiring dengan asas kepercayaan kepada Allah SWT yang menjadi teras etos kepahlawanan.

“Sebagai warga tentera darat kita wajar mengambil ibrah Peperangan Badar yang yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW yang berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

“Kekuatan iman umat Islam diuji dengan peperangan yang menyaksikan tentera Islam hanya seramai 313 orang berhadapan dengan 1,000 tentera musyrikin Makkah yang lengkap bersenjata,” katanya.

Ujarnya lagi, namun dengan takwa dan keimanan yang kukuh, kemenangan telah berpihak kepada tentera Islam dengan bantuan Allah SWT.

“Sebagai warga tentera kita seharusnya menghayati pengajaran ini. Laksanakanlah tugas yang diamanahkan dengan penuh jujur.

“Dalam masa yang sama, tingkatkanlah kualiti ibadah melalui ibadah melalui zikir, bacaan al-Quran, bersedekah serta amalan mulia yang lain, ”ujarnya.

“Jangan sekali-kali kita menjadikan puasa sebagai alasan tidak mampu melaksanakan tugas atau mengurangkan produktiviti kerja, hindarilah perkara-perkara yang tidak baik dan melalaikan yang boleh merosakkan ibadah puasa kita.

“Alangkah ruginya mereka yang berpuasa tetapi tidak mendapat pahala seperti orang yang membawa air di dalam baldi yang bocor,” katanya.

Sabda Baginda Rasulullah: Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam. (Hadis riwayat Ibnu Majah).

“Justeru, saya menyeru kepada semua, marilah kita sama-sama meneguhkan azam dan iman untuk melaksanakan ibadah di bulan Ramadan yang penuh berkah, di samping meneruskan tugas hakiki kita dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata, ”tambahnya.

“Semoga segala amal yang kita lakukan di bulan ini diberkati, dirahmati dan dibalas ganjaran pahala yang berganda dari Allah SWT.

“Kita memohon kepada Tuhan Rabbul Jalil supaya diberi kekuatan dan kesihatan untuk beramal serta dipanjangkan umur supaya dipertemukan Ramadan yang akan datang,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, penyerahan kurma kepada ketua-ketua dan wakil Bahagian, Cawangan dan Jabatan (BCJ) Markas Tentera Darat (MK TD) telah disampaikan oleh Muhammad Hafizuddeain sebagai simbolik perjumpaan PTD bersama warga MK TD.

Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan Atan, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mejar Jeneral Dato’ Norsham Md Tap, Asisten Ketua Staf Perancangan & Pembangunan, Mejar Jeneral Dato’ Ahmad Bakar dan Pengarah Agama MK TD, Kolonel Hasbullah Salleh. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat