KUALA LUMPUR – Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberikan markah gagal kepada pencapaian Kerajaan Madani.
Menteri Besar Terengganu itu yang juga bekas pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan dari segi penilaian objektif dan subjektif kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu jelas gagal.
“Pada saya failed (gagal), sama ada subjektif atau objektif… gagal.
“Ini bersandarkan kepada keluhan rakyat. Kita pergi ke pasar, di jalanan dan mereka mengeluh tentang masalah mereka.
“Jadi, pada saya itu adalah real testimoni, orang hidup yang melihat masalah mereka tidak selesai,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Rabu.
Samsuri mengakui tentu akan ada pihak yang terganggu perasaan kerana beliau berkata sedemikian.
“Which is wrong, kita sebagai orang-orang yang berada dalam parti politik ni. Kepimpinanlah terutamanya jangan tengok orang bawah.
“Kita sebagai pemimpin hendaklah berjiwa besar, sebab itu saya sebut dalam ucapan yang sokong saya terima kasih, yang tak sokong terima kasih kerana mereka elemen semak dan imbang.
“Kalau kita sebagai pemimpin nak harap semua orang 100 peratus sokong kita, setuju dengan kita
dan kita syok dengar orang puji-puji kita saya rasa itu bukan role model yang baik untuk kita membina negara Malaysia yang jauh boleh pergi ke hadapan,” jelas beliau.
Kata Samsuri, pemimpin dan rakyat tidak sewajarnya diletakkan darjat berbeza.
“Di Malaysia ini seolah-olah ada darjat lain antara pemimpin dan rakyat.
“Jadi bila ada teguran kita berlapang dada dan kalau perlu diubah kita ubah.
“Bila saya kata gagal mungkin ada orang melenting tapi pada saya lah saya rasa ok, whats wrong with me dan cari jalan.
“Orang berkenaan tu haruslah berfikir duduk dan kenal pasti apa masalah, apa lagi perlu dipertingkatkan?
“Sebab itulah saya sebut krisis dalam negara kita ni banyak, pelbagai dan kalau kerajaan tak boleh nak selesai semua perkara mungkin sampai masa untuk kita fikir non partisan line. Maksudnya semua pihak duduk bersama. Ini termasuk pakar-pakar dan cuba cari penyelesaian tak kira masalah sosial dalam negara, kepelbagaian kaum, masalah ketegangan, masalah ekonomi, masalah pekerjaan,” cadang beliau.
Samsuri mengingatkan mana-mana pihak tidak boleh bersikap ‘in-denial’ apabila berdepan masalah.
“Kita tak boleh in-denial, akui kita berdepan dengan masalah.
“Perbahasan di Parlimen, sebelah pihak gambarkan seolah-olah kita tak ada masalah, saya tak tahu kamu nak kaburi siapa?
“Pemimpin kerajaan hendaklah berlapang dada dengan teguran, kritikan kalau tidak lebih baik tak jadi pemimpin,” tegur beliau.