KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menafikan sekeras-kerasnya berlaku pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Tegas Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, kenyataan Nik Nazmi itu kurang tepat kerana tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis.
Katanya lagi, kenyataan yang dinyatakan semalam telah menjejaskan nama baik Negeri Pahang, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri Pahang sejak 5 tahun lalu begitu tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram.
“Kerajaan Negeri Pahang menafikan sekeras-kerasnya berlaku pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur, YB Lee Chuan How, di Parlimen, semalam.
“Saya ingin nyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah kurang tepat, di mana tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis meskipun terdapat cubaan untuk melakukan aktiviti melombong bahan tersebut,”katanya menerusi kenyataan Facebooknya, pada Rabu.
Semalam Nik Nazmi berkata terdapat pengoperasian nadir bumi secara haram di beberapa kawasan termasuk Hutan Simpan di Lipis.
Nik Nazmi di Sidang Parlimen menjawab Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How, yang mempersoalkan status larangan eksport nadir bumi pada ketika berlaku peralihan teknologi bagi pemprosesan dan industri hilirannya dibangunkan, sebagai suatu langkah untuk memanfaatkan kadar ringgit yang optimum bagi eksport tersebut
Dalam pada itu, tambah Wan Rosdy lagi, hasil maklumat dan initipan yang dilakukan oleh Pasukan Elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 20 Mac 2023 (Isnin) telah mengesan dan menjumpai satu lokasi yang cuba dijadikan kawasan lombong nadir bumi berdasarkan peralatan yang ditemui,
Jelasnya, susulan penemuan ini, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan tapak di lokasi itu pada 23 Mac 2023 (Khamis) dan hasil siasatan mendapati bahawa penemuan alatan dan barang-barang makmal yang digunakan menunjukkan kawasan tersebut adalah untuk melombong nadir bumi.
“Bagaimanapun, tiada aktiviti pengeluaran dikesan dan semua peralatan tersebut telah dirampas pihak berkuasa.
“Malah, lanjutan daripada kes ini, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penguatkuasa Perhutanan Zon Pahang Barat telah melakukan pemantauan berkala bermula 3 Mei 2023 hingga 15 Februari 2024 di kawasan Pahang Barat dan mendapati tiada sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi berlaku.
“Oleh yang demikian, saya berharap fakta ini dapat diperbetulkan kerana kenyataan yang dinyatakan semalam telah menjejaskan nama baik Negeri Pahang, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri Pahang sejak 5 tahun lalu begitu tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram termasuk aktiviti perlombongan daripada berleluasa,” ujar Wan Rosdy lagi.
Menurut Wan Rosdy, sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang pada 9 Oktober 2019, sebanyak 137 kes pencerobohan tanah Kerajaan Negeri telah berjaya diselesaikan dengan 129 kes telah dikenakan kompaun dan 8 kes lagi telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.
Kerajaan Negeri juga akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi aktiviti penerokaan tanah secara haram yang berlaku di Negeri Pahang pada masa akan datang.-SUARATV