Ella rai 35 tahun dengan konsert mega

- Advertisement -

KUALA LUMPUR : Ketepikan spekulasi mahu bersara daripada dunia muzik gara-gara tindakan memadam foto di Instagram (IG), baru-baru ini. Hakikatnya, Ella yang digelar Ratu Rock, ada berita baik yang mahu dikongsi dengan peminat setia.

Ketika persoalan apakah benar Ella mahu meletakkan noktah kepada kerjaya seni hangat diperkatakan netizen, beliau membuat kejutan dengan mengumumkan bakal mementaskan konsert mega.

Konsert diberi nama 35 Tahun – Jilid Akhir: Ella Puteri Kota itu bakal dianjurkan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 10 Jun depan.

Berkongsi keterujaan penganjuran konsert itu, Ella atau nama penuh, Nor Zila Aminuddin, 57, berkata, acara itu dianggap hadiah dan ucapan terima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya sejak lebih tiga dekad lalu.

“Selama ini, saya sering tertanya-tanya apakah mereka masih mahukan saya berada di sini (bidang seni).

“Selepas insiden padam gambar di IG, saya terima ribuan komen dan mesej bertanya apakah benar saya ingin bersara.

“Ada antara mereka menangis dan merayu meminta saya untuk menimbang semula keputusan itu.

“Pengakuan mereka itu membuatkan saya terkejut. Ini secara tidak langsung menjawab pelbagai persoalan dalam fikiran sebelum ini.

 

Ella terpaksa menolak tujuh tawaran lain demi menjayakan Konsert 35 Tahun - Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 10 Jun depan. Foto NSTP Rohanis Shukri
Ella terpaksa menolak tujuh tawaran lain demi menjayakan Konsert 35 Tahun – Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 10 Jun depan. Foto NSTP Rohanis Shukri

 

“Apabila dapat penghargaan seperti itu, saya sangat terhutang budi kepada peminat. Selain mengubat rindu, Ella anggap konsert ini bagi meraikan peminat,” katanya pada sidang media mengumumkan Konsert 35 Tahun – Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di ibu negara, Jumaat lalu.

Konsert selama lebih dua jam itu bakal menyaksikan Ella mendendangkan 35 lagu popularnya.

“Sebenarnya, Ella dapat banyak permintaan hingga terpaksa memendekkan senarai lagu untuk disesuaikan dengan tempoh konsert.

“Antara lagu wajib yang akan didendangkan adalah Sepi Sekuntum Mawar Merah, Sembilu dan Pengemis Cinta.

“Koleksi lagu yang dipersembahkan bakal mengundang nostalgia peminat. Mungkin ketika mendengar lagu itu, mereka masih di bangku sekolah, sudah bekerja atau sedang bercinta,” katanya.

Pada sidang media itu, Ella mendedahkan terpaksa menolak tujuh tawaran lain demi menjayakan konsert berkenaan.

“Sebelum ini, Ella terima tawaran daripada tujuh penganjur berbeza, namun, semuanya terpaksa ditolak.

“Bukan bermakna tawaran lain tidak bagus, sebaliknya, Ella terima tawaran daripada Hitman Solutions ini kerana mereka berpengalaman mementaskan konsert terutama membabitkan artis

antarabangsa.

“Dengan kepakaran dimiliki dan pengalaman 35 tahun Ella dalam dunia ‘showbiz’ dengan dibantu syarikat pengurusan, RockQueen, konsert ini akan menjadi lebih besar,” katanya.

Mengulas harga tiket konsert yang dianggap lebih rendah jika mahu dibanding dengan status sebagai bintang legenda, penyanyi bersuara serak ini memberitahu, harga tiket yang ditetapkan adalah atas permintaannya sendiri.

“Tiket paling murah adalah RM99 manakala paling mahal RM499. Ella mahu harga tiket dijual begitu kerana tahu peminat merangkumi pelbagai golongan.

“Ella mahu mereka datang dan dapat bersama Ella meraikan hari yang penuh bermakna itu,” katanya.

Bagi meraikan ulang tahun ke-35 dalam dunia seni, Ella yang berasal dari Klang, Selangor menerbitkan autobiografi berjudul Rockers Juga Manusia.

Ella berkata, buku hasil tulisannya itu menceritakan perjalanan hidup serta pengalaman pahit manis yang dilalui anak seni.

“Proses pembikinan buku ini mengambil masa lebih dua tahun. Ini baru bahagian satu dan akan menyusul beberapa bahagian lagi.

“Hendak buat macam mana? Kisah Ella sangat panjang… Tak muat satu buku,” katanya yang bakal merakamkan single baharu sempena konsert berkenaan.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat