Kerajaan Pada Landasan Tepat Pulih Kedudukan Kewangan Felda Menjelang 2023

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini berada pada landasan tepat dalam usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjelang 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keyakinan itu didorong oleh strategi baharu Pelan Pemulihan Felda yang sedang dilaksanakan kerajaan khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan penstrukturan kewangan.

Katanya usaha itu termasuk rancangan Felda untuk mengambil alih kepentingan dalam FGV Holdings Berhad (FGV) yang kini mempunyai saham sebanyak 77 peratus.

“Pengurusan Felda yang baharu ini akan memastikan Felda dapat menguasai sepenuhnya saham dalam FGV sebagai salah satu pelan pemulihan Felda.

“Selain itu, kita juga giat melakukan langkah-langkah dalam meningkatkan kecekapan dan penstrukturan semula kewangan Felda bagi memastikan kedudukannya kembali kukuh menjelang 2023.

“Menerusi pasukan petugas khas pemulihan Felda yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar, kita yakin Felda mampu dimantapkan semula dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya pada sidang media Setahun Malaysia Prihatin pada Khamis.

Katanya Felda juga masih membuka tawaran kepada pemegang saham FGV yang ingin menjual saham mereka sehingga 15 Mac ini.

Selain itu, Mustapa berkata Felda juga akan menstrukturkan semula kadar bayaran hutang dalam kalangan peneroka dan perkara itu akan diumumkan pada Mei depan.

“Kita akui peneroka sekarang dibebani hutang yang sangat tinggi dan kerajaan telah membuat keputusan untuk menstruktur semula bayaran hutang tersebut.

“Sekarang ini, hutang yang perlu dibayar peneroka ialah sebanyak purata RM1,000 sebulan, jadi dengan penstrukturan yang akan diumumkan kelak dilihat dapat mengurangkan beban yang ditanggung peneroka,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat