KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan Naib Presiden Gerakan Oh Tong Keong berkenaan hak dan kuasa tuan tanah apabila asetnya diceroboh secara haram.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengingatkan Tong Keong supaya mengkaji fakta kes terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pandangan.
“Pertama, tanah itu ada pemilik yang sah dan tindakan dilakukan atas kebenaran bahkan permintaan tuan tanah.
“Kedua, laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dilakukan oleh tuan tanah dan surat telah dikeluarkan oleh PBT yang menegaskan tindakan perlu diuruskan oleh tuan tanah. Dan proses itu telah berlaku bertahun-tahun.
“Soalan saya, jika tanah anda saudara Tong Keong sendiri dicerobohi oleh binaan haram, bolehkah anda bersabar walaupun sehari? kata Fadhli.
Baru-baru ini, Naib Presiden Gerakan itu dilaporkan berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap empat individu yang merobohkan kuil Hindu di Rawang, Selangor semalam, bagi mengelakkan amalan mengambil undang-undang sendiri menjadi kebiasaan.
Tong Keong berkata, insiden itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menghina agama serta menyinggung perasaan penganut.
“Kerajaan tidak boleh memandang ringan isu ini kerana ia berpotensi mencetuskan ketidakpuasan dan konflik antara komuniti agama serta kaum.
“Walaupun kuil tersebut didakwa dibina secara haram atau tidak mematuhi peraturan, bukan hak individu untuk merobohkannya sendiri.
“Sebarang perobohan mesti melalui perbincangan bersama pihak berkuasa penguatkuasaan dan pengurusan kuil, serta memberi masa mencukupi untuk memindahkan arca dan barang keagamaan,” katanya.
Tambah beliau, sebarang perbuatan sengaja merosakkan atau menghina tempat ibadat mesti dikenakan tindakan undang-undang.



