8 Ahli Parlimen PKR dedah skandal SPRM, desak Azam Baki digantung tugas

KUALA LUMPUR, – Lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendedahkan apa yang disifatkan sebagai skandal serius membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus mendesak Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki digantung tugas serta-merta sementara satu siasatan bebas dan telus dijalankan.

Dalam kenyataan media bersama bertajuk “Gantung Tugas KP SPRM, Siasatan Bebas dan Telus Disegerakan”, mereka merujuk kepada laporan media antarabangsa Bloomberg yang mendakwa berlaku salah guna kuasa dan campur tangan dalam beberapa kes berprofil tinggi, termasuk dakwaan melibatkan jumlah kewangan besar serta kemungkinan penyalahgunaan kuasa dalam agensi penguatkuasaan.

https://www.facebook.com/share/v/16re4nkMnh/?mibextid=wwXIfr

Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah siasatan terhadap seorang individu dikenali sebagai Victor Chin yang didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram melebihi RM500 juta melalui penggunaan syarikat-syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia untuk mencuci hasil kegiatan kongsi gelap. Menurut kenyataan itu, kes berkenaan pernah disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama SPRM pada 2021, namun berakhir tanpa pendakwaan dan sebahagian besar wang terbabit dipulangkan.

Kenyataan tersebut turut menyebut dakwaan campur tangan dalam satu kes polis melibatkan seorang ahli perniagaan, Andy Lim, yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Tan Sri Azam Baki. Kes itu melibatkan senjata api dan menurut laporan yang dirujuk, ia berakhir tanpa pendakwaan serta senjata api berkenaan dipulangkan.

Lebih serius, kumpulan Ahli Parlimen itu mendakwa wujud unsur “bersekongkol secara sistemik” apabila SPRM didakwa bekerjasama dengan sekumpulan ahli perniagaan tertentu untuk menekan dan mendakwa ahli perniagaan lain, dengan tujuan memaksa penyerahan kepentingan atau saham syarikat. Dakwaan tersebut dikatakan melibatkan bayaran mencecah jutaan ringgit bagi setiap kes.

Mereka juga merujuk kaitan nama sebuah syarikat, MMAG Holdings Berhad, yang didakwa mempunyai hubungan dengan individu yang dikaitkan dalam laporan tersebut. Kenyataan itu menyebut bahawa syarikat berkenaan sebelum ini pernah dikuasai oleh Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perkara ini menurut mereka menambah keperluan supaya siasatan dijalankan secara bebas dan tanpa sebarang campur tangan politik.

Dalam kenyataan sama, mereka memaklumkan bahawa selepas isu ini dibangkitkan, laporan terhadap mereka telah dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan mereka dimaklumkan kemungkinan siasatan akan dibuka terhadap mereka. Mereka menyifatkan perkembangan itu sebagai satu bentuk intimidasi dan tekanan balas yang tidak wajar terhadap wakil rakyat yang menjalankan tanggungjawab semak dan imbang.

Ahli-ahli Parlimen PKR tersebut menegaskan bahawa sekiranya dakwaan berkenaan benar, ia bukan sahaja menjejaskan kredibiliti SPRM, malah turut memberi implikasi kepada institusi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan LHDN, sekali gus menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Mereka turut mengingatkan agar kerajaan tidak mengulangi kesilapan dalam skandal 1MDB, dengan menyatakan bahawa rakyat akan menjadi hakim terhadap tindakan dan ketegasan kerajaan dalam menangani isu ini.

Sebagai langkah susulan, mereka mengumumkan beberapa tindakan termasuk menulis kepada semua Ahli Parlimen bukan anggota pentadbiran untuk mendapatkan sokongan supaya Tan Sri Azam Baki digantung sementara siasatan bebas dijalankan. Mereka juga akan mendesak pimpinan DAP dan AMANAH menggunakan kedudukan dalam kerajaan bagi menyokong tuntutan tersebut.

Selain itu, mereka menggesa BERSIH mempertimbangkan penganjuran perhimpunan aman dalam masa terdekat serta memaklumkan bahawa laporan polis akan dibuat terhadap Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan campur tangan dalam kes membabitkan senjata api.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Rafizi Ramli (Pandan), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Tan Kar Hing (Gopeng) dan Zahari Hassan (Wangsa Maju).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat