KKM cadang bina hospital ihsan di Gaza – Dr Dzulkefly

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membawa cadangan pembinaan sebuah hospital ihsan dalam usaha membantu membangunkan semula Gaza selepas pasca peperangan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sendiri akan membentangkan cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam agenda pembinaan hospital itu.

“Insya-Allah, kita akan bersama-sama majukan dan bantu pembangunan semula Gaza selepas pasca peperangan ini dan berharap semua pihak bersama memastikan kejayaan pembangunan semula Gaza.

“KKM bersedia menyiapkan cadangan berkenaan kerana pastinya ia memerlukan dana, saya akan bentangkan perkembangan ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang, paling tidak nota kepada jemaah Menteri.

“Antara lainnya saya akan menyebutkan agenda Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membangunkan semula Gaza. Saya perlu terangkan secara menyeluruh dan satu daripada agendanya pembinaan hospital ihsan yang dicadangkan.

“Tidak dapat ditentukan lagi (bentang nota) tetapi dalam waktu yang agak munasabah. Sebelum ke majlis ini, saya sudah maklum kepada Ketua Pengarah (KKM), akan bincang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Amal untuk Gaza anjuran (MAPIM) kelmarin.

Yang turut hadir, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai pegawai dan kakitangan perubatan yang bakal ditempatkan di sana kelak.

“Jumlah yang tepat belum ditetapkan tetapi memang ada kesediaan kami untuk mendaftarkan doktor kita…mereka sentiasa bersedia untuk dipanggil.

“Senarai sudah ada dalam pangkalan data kami. Keperluan lain, dari sudut kesihatan, kepakaran surgeri lebih kepada pembedahan plastik dan perkara lain yang akan diperlukan,” katanya.

Beliau juga berkata, kehadirannya ke majlis berkenaan sebagai mewakili kerajaan Madani di bawah kepimpinan Anwar bagi memastikan bahawa apa yang dilaksanakan oleh MAPIM akan mendapat sokongan kerajaan.

“Tahniah kepada MAPIM juga semua dermawan yang memberikan sumbangan dalam agenda ini, kira-kira RM30 juta yang dijana malam ini termasuk lebih 20 negara luar seperti Singapura, New Zealand, Indonesia, United Kingdom, Bangladesh,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat