KUALA LUMPUR – Selain PAS, Bersatu juga memuji Umno mempertahankan citra sejarah dan warisan negara.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, bantahan terhadap cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming untuk menjadikan Kampung (Kg) Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bukan bermaksud sentimen anti Cina.
“Kita bukan anti Cina tapi adalah tidak munasabah sama sekali Kg. Baru Cina cuba diangkat sebegitu rupa.
“Bagus Umno melawan dalam bab ini. Ketepikan perbezaan kepartian dalam mempertahankan citra sejarah dan warisan negara yang sebenar,” puji Ahli Parlimen Machang itu.
Wan Ahmad Fayhsal malah mencadangkan, kalau DAP ghairah nak iktiraf warisan Tionghua di Malaysia, mulakan dengan warisan Cina Peranakan terlebih dahulu.
Sebelum ini, Kor Ming mengemukakan cadangan untuk mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan Cina yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.
Beliau berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.