Jenama Kerajaan Perpaduan menipu rakyat, seluruh dunia- Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS menyifatkan tindakan kerajaan campuran yang dijenamakan dengan label Kerajaan Perpaduan didakwa sebagai menipu rakyat dan seluruh dunia.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jenama ‘Kerajaan Perpaduan’ adalah menyalahi istilah ilmu politik iaitu kerajaan yang tiada pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil laksana nyamuk.

“Pakatan Harapan (PH) yang memimpin kerajaan campuran sekarang, ahli Parlimen mereka didominasi oleh bukan Islam (seramai 50 orang bukan Muslim dan 31 orang Muslim).

“Mereka tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti untuk mendominasi penduduk negara ini sebagai majoriti berkonsepkan asas yang disebutkan dalam hadis sebelum ini. Di samping dinamakan kerajaan campuran itu dengan kerajaan perpaduan walaupun penubuhannya menipu rakyat dan seluruh dunia. Meletakkan jenama ‘Kerajaan Perpaduan’ adalah menyalahi istilah ilmu politik iaitu kerajaan yang tiada pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil laksana nyamuk,” tegas Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS pada Isnin.

Selain itu katanya, kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan oportunis.

“Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya. Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan.

“Tambahan pula, mereka melantik kepimpinan negara daripada kalangan mereka yang hanya menang tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu dengan sokongan bukan Muslim, bukannya sokongan kaum Muslim yang mendominasi penduduk negara. Calon pemimpinnya berpindah-randah tempat bertanding sehingga terpaksa bergantung kepada sokongan bukan Islam yang tidak mendominasi keseluruhan penduduk.

“Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka.

“Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka,” dakwa beliau lagi.

Tambah Hadi, di sini menunjukkan bahawa mengambil alih kerajaan bukan sekadar mengambil tempat bagi merebut jawatan dengan keistimewaannya.

Namun katanya, kewajipan yang sepatutnya ialah menunaikan amanah Allah SWT bagi melakukan tashih (pembetulan) terhadap kerosakan yang berlaku, bukan berebut jawatan dan mengekalkan kerosakan atau menambah keburukannya.

“Pada masa yang sama, bukan pula berlaku zalim terhadap mana-mana pihak yang tidak menyokong mereka dengan menyekat peruntukan yang diwajibkan kepada negeri-negeri dan ahli-ahli Parlimen, termasuk menyusahkan pegawai-pegawai kerajaan yang dikira tidak menyokong mereka. Tindakan demikian adalah sungguh tidak bertamadun, tidak bermoral agama, dan tidak berkonsepkan demokrasi yang sebenar, malah menjadikan cara yang salah bagi mengekalkan kuasanya,” bidasnya.

Menurut beliau lagi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, pengundi muda menolak Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana penyakit yang dihidapinya, kemudian mereka salah mengundi kerana menerima tawaran bohong secara spontan daripada PH.

“Selepas itu, PH pula ditumbangkan kerana kerapuhannya bersama janji bohong dan manifesto menipu yang dikatakan bukan kitab suci. Kerajaannya tidak mampu melakukan perubahan seperti yang dijanjikan kerana sibuk dengan masalah dalaman, khususnya masalah kepimpinan yang tidak berintegriti.

“Golongan pengundi muda dan luar bandar menerima Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 kerana tema “Bersih dan Stabil”. Kerajaan PN yang ditubuhkan selepas kejatuhan kerajaan PH telah menunjukkan bukti perubahan, walaupun dalam masa yang singkat.

“BN ditolak lebih terkebelakang bersama pengundi saluran satu, manakala PH pula mendapat undi bukan Islam di kawasan bandar yang mewah dan mempunyai kemudahan hidup yang tidak mendominasi penduduk secara keseluruhannya.

“Tiba-tiba, kebangkitan generasi muda dan luar bandar itu dikecewakan dengan kerajaan campuran BN yang ditolak dan PH yang juga ditolak kerana tidak mendominasi rakyat yang sebenar. Termasuklah tidak menjadi teras perubahan politik bersifat madani yang diolah oleh Ibn Khaldun,” kritik Hadi.

Jelas beliau, keadaan ini menunjukkan berlaku perubahan yang lebih buruk; daripada BN yang dahulunya berpenyakit kepada PH yang lebih parah dengan pelbagai jenis penyakitnya.

“Apabila berlaku campuran dua kumpulan berpenyakit yang merosakkan perubahan dan menjadikannya lebih buruk, maka keadaan ini menunjukkan bahawa perjuangan menyelamatkan rakyat dan negara belum selesai.

“Akhirnya, wujud keadaan laksana menanam pokok yang dikelilingi musuh daripada kalangan makhluk perosak. Walaupun sudah tumbuh dan berbunga, musim bunganya tidak mendatangkan hasil kerana dirosakkan oleh musuh sekiranya terus dibiarkan.

“Janganlah kita menerima nasib yang sama sebagaimana ‘Arab Spring’ yang tidak berbuah dan reformasi di negara jiran yang masih belum selesai.

“Kita mengharapkan generasi muda yang membuat perubahan melalui PRU-15 baru-baru ini terus menjunjung konsep madani Ibn Khaldun dengan meneruskan perjuangan yang belum selesai bersama PN,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat