KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dinasihatkan agar tidak terjebak dengan krisis keyakinan berpanjangan kerana ia didakwa bakal menggugat keutuhan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi berkata, sejak 2018 bila janji dicapati, kini ia berlarutan kepada titah adendum
“Malaysia tidak boleh terjebak dengan krisis keyakinan berpanjangan. Sejak 2018 bila janji dicapati, kini ia berlarutan kepada titah adendum.
“Kegagalan bawa pulang Jho Low dan menantu (Tan Sri) Muhyiddin Yassin juga turut menghakis keyakinan rakyat.
“Langkah jujur penting demi menjaga keutuhan Kerajaan Perpaduan,” ujar Puad.
Beliau yang juga Speaker DUN Johor sebelum ini pernah membangkitkan beberapa kali soal kewujudan titah adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Kata Puad, rakyat tanya: “titah adendum” itu wujud atau tidak? Rakyat tidak tanya titah adendum itu dibincang dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. Soalan mudah”.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan titah adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.
Anwar menjelaskan, beliau sendiri terlibat pada mesyuarat itu dan isu berkenaan tidak dibincangkan.
“Ia tidak termasuk dalam agenda. Tuanku Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Datuk Seri Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan.
“Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Najib adalah munasabah kalau diberi pertimbangan,” katanya.