KUALA LUMPUR -Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengemukakan saran supaya ekosistem pendidikan dikaji semula, bagi mendapatkan pendekatan menangani kes buli yang dikaitkan dengan penuntut Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Beliau berkata kes penuntut dipercayai dipijak penuntut senior hingga cedera parah di rusuk dan belakang badan, melibatkan pengambilan di bawah ALK.
“Saya telah berbincang dengan Menteri Pertahanan selaku menteri bertanggungjawab dalam hal ALK ini, dan apakah langkah-langkah yang boleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama memastikan supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi.
“Kita perlu tegas dan tindakan-tindakan perlu diambil termasuk tindakan perundangan terhadap pelaku,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran buku Tun Abdul Razak Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses, pada Selasa.
Beliau berkata pihak KPT mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan dan kerjasama untuk memastikan keselamatan penuntut termasuk mereka yang berada dalam kawalan ALK.
“Saya tidak boleh mengambil pendekatan lepas tangan sahaja, sebab mereka sebahagian daripada pelajar tetapi sistemnya agak berlainan,” katanya.
Zambry memaklumkan beliau telah mengarahkan kesemua naib canselor di peringkat universiti supaya memastikan perbuatan buli dipantau dengan rapat dan mengambil tindakan segera terhadap pelaku sekiranya terdapat kejadian itu.
“Saya hendak menekankan bahawa kerajaan dan KPT khususnya tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan sebarang perbuatan buli di mana-mana institusi pengajian tinggi dan inilah dasar yang kita tetapkan.
“Saya telah mengarahkan (tindakan) (terhadap apa) yang berlaku di ALK, meskipun ia bukan terletak di bawah pengawasan UPNM namun kita tidak mahu mengambil pendekatan mengatakan ini bukan dalam bidang kuasa kita, tetapi paling mustahak ialah kita perlu bertegas dalam soal seperti perbuatan buli,” lapor Bernama.
Ditanya berhubung Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilaporkan mengemukakan usul tergempar ke Parlimen semalam, untuk mencari penyelesaian tuntas terhadap isu buli yang membimbangkan di negara ini, Zambry berkata beliau menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Ahad lepas, polis mengesahkan sedang menyiasat kejadian yang membabitkan seorang penuntut UPNM berusia 19 tahun, yang disyaki dipijak sehingga cedera parah di rusuk dan belakang badan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.
Bulan lepas, satu insiden lain pula melibatkan kes buli di universiti yang sama, dengan seorang pegawai kadet ALK UPNM telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencederakan penuntut junior menggunakan seterika wap panas.