Seronok pelakon ‘sekepala’

- Advertisement -

TIADA yang lebih menyeronokkan berada dalam set penggambaran selain dapat bergandingan pelakon yang ‘sekepala’. Pasti satu bonus jika seluruh produksi juga menyenangkan.

Demikian kepuasan buat Ryan Reynolds atau nama sebenarnya Ryan Rodney Reynolds, 45, setiap kali menjayakan penggambaran filem.

Reynolds dalam temu bual bersama RAP berkata, dia mencapai kepuasan maksima jika keserasian bersama pelakon lain datang secara semula jadi.

Hakikatnya, keseronokan begitu juga yang mampu menenggelamkan rasa penat apabila terbabit dengan penggambaran dalam tempoh yang panjang.

Setiap jam yang berlalu tidak dirasai apabila dikelilingi individu yang disenangi rapat.

Aspek itu paling ditekankan Reynolds apabila berkongsi pengalamannya menjayakan penggambaran filem Red Notice kepada RAP, baru-baru ini.

 

REYNOLDS capai kepuasan maksima jaya penggambaran filem Red Notice.
REYNOLDS capai kepuasan maksima jaya penggambaran filem Red Notice.

 

Ditayangkan di platform penstriman Netflix bermula hari ini, turut membintanginya adalah Dwayne Johnson dan Gal Gadot.

Menurutnya, setiap saat menjadi indah kerana ikatan mereka bertiga memang cukup akrab. Ia sekali gus menjadikan penggambaran jadi lebih ‘hidup’ dengan diselangi lawak jenaka serta gelak tawa setiap masa.

“Saya sangat seronok bekerja dengan Dwayne dan Gal kerana sudah lama kenal mereka. Ia ibarat pergi bercuti dengan kawan-kawan. Saya sudah berlakon hampir 30 tahun dan bukan setiap hari saya dapat bekerja dengan teman rapat saya dan ia sangat istimewa.

“Kami sudah kenal lama dan sentiasa mengenakan sesama sendiri secara jujurnya. Saya, Dwayne, Gal dan tidak ketinggalan beberapa pengarah suka bergurau di set penggambaran.

“Walaupun saya cuba jenaka baharu, pasti akan membuatkan Dwayne ketawa dalam banyak babak. Dan saya agak terkejut apabila ayat-ayat yang kami gunakan itu akhirnya kekal dalam skrip filem terbabit,” katanya.

 

GABUNGAN karakter personaliti besar menjadi kekuatan Red Notice.
GABUNGAN karakter personaliti besar menjadi kekuatan Red Notice.

 

Mengakui bahagian paling menarik dalam Red Notice adalah pada dialog, Reynolds berkata, idea mereka bercambah setiap kali bergurau senda sehinggakan ada waktunya masa penggambaran jadi meleret.

Dia mengakui situasi sebegitu bukan boleh diterima semua pelakon terutama yang pentingkan masa. Namun, dia bertuah kerana kesepakatan antara mereka tidak menjejaskan persekitaran produksi.

“Kami masing-masing berusaha mencabar sesama sendiri di set penggambaran dan saya sukakannya kerana ia membawa tahap lakonan kami ke tahap lebih baik.

“Pada hari pertama dalam babak di mana kami semua berada di sebuah ‘chapel’ penjara, penggambaran awalnya hanya dijadualkan berlangsung lima jam. Namun, ia berlarutan sehingga 10 jam kerana kami banyak membuang masa bergelak tawa.

“Ia boleh jadi masalah yang baik atau tidak baik juga. Bagaimanapun, dari situ jelas nampak bahawa keserasian yang terbina antara kami menjadi aspek cukup penting untuk berasa seronok di set penggambaran,” katanya.

Cukup padat dengan aksi lasak, filem berkisar pengembaraan itu juga akan mengingatkan penonton kepada beberapa naskhah seumpama pernah dihasilkan. Ceritanya mengenai perebutan harta karun dan banyak aksi pertarungan.

Bagaimanapun, Reynolds menyifatkan kelebihan sebenar Red Notice masih terletak pada interaksi setiap wataknya. Justeru, dia sendiri cuma menjadi diri sendiri tanpa merujuk mana-mana sumber untuk wataknya.

 

REYNOLDS cukup serasi dan akrab dengan Johnson serta Gadot.
REYNOLDS cukup serasi dan akrab dengan Johnson serta Gadot.

 

“Tiada sebarang kajian dibuat kerana ia lebih kepada memaparkan personaliti sebenar kami dalam dunia nyata. Memang ada juga pengaruh daripada filem yang saya pernah tonton ketika kanak-kanak seperti Indiana Jones.

“Tapi, ia adalah sebuah filem pengembaraan dan aksi komedi yang memaparkan tiga watak berpersonaliti besar. Dinamik antara watak itu yang sebenarnya paling menyeronokkan dan menguatkan jalan ceritanya,” katanya.

Akur penggambaran sulit

ketika pandemik Covid-19

Menariknya, Red Notice juga antara filem yang dibikin ketika pandemik Covid-19.

Reynolds mengakui situasi penggambaran tidak lagi seronok sebagaimana sebelum ini, namun akur itu realiti perit perlu ditelan seluruh dunia sekarang.

Bagaimanapun, dia secara peribadi cukup bersimpati dengan nasib kru produksi yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri. Ini kerana, tempoh mencabar itu mengekang segala pergerakan mereka.

“Memang sangat mencabar apabila menjalani penggambaran dalam tempoh pandemik. Secara spesifiknya buat kru kerana protokol dalam set penggambaran sangat ketat di mana kami cuma boleh berada sama ada di set, terus balik rumah atau hotel.

“Sebaliknya kru pula tidak dapat berbuat demikian dan pastinya rata-rata mereka rindu untuk berjumpa keluarga masing-masing. Walaupun keluarga mereka ada yang tinggal berdekatan, namun mereka tidak dibenarkan untuk keluar dari set penggambaran.

“Syukur sekarang sudah boleh teruskan penggambaran dengan tidak terlalu ketat kerana sebelum ini memang situasinya umpama mimpi ngeri,” katanya.

Dalam pada itu, Reynolds juga sempat berkongsi mengenai keinginannya berlakon bersama isteri tercinta juga pelakon terkenal, Blake Lively. Dia bagaimanapun tidak melihat impian itu mampu jadi kenyataan buat masa sekarang.

“Saya teringin untuk berlakon dengan isteri. Nampak senang cakap walhal susah nak realisasikan. Kami tidak boleh bekerja pada masa sama kerana kami mempunyai tiga cahaya mata kecil. Kalau andainya kami bekerja untuk projek filem yang sama, habis kami!” katanya.

Red Notice yang diarahkan Rawson Marshall Thurber mengisahkan kes profil besar membabitkan Interpol memburu perompak harta seni, Nolan Booth (Reynolds). Pegawai FBI iaitu John Heartly (Johnson) ditugaskan dalam misi memberkas Nolan.

Bagaimanapun, berlaku konflik apabila individu dikenali sebagai The Bishop (Gadot) pula muncul. Bermula situ, aksi kejar-mengejar kemudian menyusul di beberapa negara demi mencari sebuah harta antik termahal.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat