KUALA LUMPUR – Pemuda Perpaduan berpendirian tegas mengecam sekeras-kerasnya jenayah kemanusiaan dalam konflik Perang Palestin-Israel dan menggesa agar ia dinokhtahkan segera setelah mengambil kira kesengsaraan dan kehilangan nyawa orang awam yang tidak terkira dari kedua-dua belah pihak.
Dalam kenyataan bersama, Pemuda Perpaduan menegaskan, pelanggaran perjanjian oleh rejim Israel serta penindasan berterusan terhadap hak asasi rakyat Palestin menjadi jenayah yang tidak disemak dan diadili di muka pengadilan sejak sekian lama sekali gus menyerlahkan sikap ‘double standard’ badan-badan antarabangsa.
“Masyarakat dunia sedia maklum sejak beberapa minggu lalu ketegangan yang semakin memuncak akibat sikap tirani rejim Israel telah memaksa Hamas melancarkan serangan terbesar Operasi Taufan Al Aqsa semalam untuk menamatkan kependudukan Israel yang tidak sah selama ini.
“Masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia perlu sedar peperangan yang berlarutan ini melangkaui kaca mata agama tetapi ianya adalah jenayah kemanusiaan,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Susulan itu, bantahan terbuka perlu dizahirkan.
“Inilah masanya rakyat Malaysia bersatu hati menunjukkan solidariti kepada Palestin yang mempertahankan kedaulatan dan hak rakyatnya demi menamatkan konflik peperangan yang tidak menguntungkan.
“Pemuda Perpaduan sekali lagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin. Kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas Palestin wajar dibela dan diberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.
“Pemuda Perpaduan berhimpun atas dasar dan semangat kemanusiaan, kepekaan, kecaknaan dan kepedulian kepada apa yang menimpa terhadap Palestin,” katanya.
Oleh itu, Pemuda Perpaduan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama kami di ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza’ yang akan berlangsung pada hari Jumaat, 13 Oktober 2023 di Perkarangan Masjid Negara selepas selesai Solat Jumaat.
“Himpunan ini memanggil seluruh rakyat Malaysia menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat serta menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan ini.
“Ayuh semua rakyat Malaysia tidak kira agama,bangsa mahupun fahaman politik kita bersatu untuk menyatakan solidariti kita bersama saudara kita di bumi Palestin,” tegasnya.
Kenyataan bersama itu melibatkan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK),Adam Adli; Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Akmal Saleh; Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY),Kelvin Yii; Ketua Pemuda Amanah Nasional, Senator Mohd Hasbie Muda.