Frontliner KKM boleh tuntut dana RM5 juta jika dijangkiti Covid-19 : Cuepacs

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh menuntut dana khas melalui Dana MOH FWD MY Heroes berjumlah RM5 juta sekiranya dijangkiti virus Covid-19 sewaktu bertugas menangangi penularan wabak berkenaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, dana tersebut merupakan inisiatif dan dedikasi Cuepacs bersama FWD Takaful Berhad kepada petugas barisan hadapan KKM dan ahli keluarga mereka.

“Berdasarkan laporan KKM, terdapat lebih 406 petugas kesihatan di hospital kerajaan telah dijangkiti Covid-19 tidak termasuk ahli keluarga mereka.

“Bagaimanapun sejak dana ini dilancarkan pada 1 April 2020, hanya 288 tuntutan telah diterima dengan nilai berjumlah RM732,000. Daripada jumlah tersebut, Cuepacs dan FWD Takaful telah membuat pembayaran kepada satu tuntutan melibatkan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak RM50,000, 10 tuntutan kematian akibat lain-lain sebab (RM100,000) dan 274 tuntutan kemasukan ke wad (RM552,000),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Cuepacs menjangkakan tuntutan akan bertambah berdasarkan jumlah kes yang berlaku di Sabah.

“Justeru itu, Cuepacs menggesa dan menggalakkan semua ketua jabatan di KKM menghebahkan inisiatif Dana MOH FWD MY Heroes kepada kakitangan mereka.

“Petugas barisan hadapan KKM adalah termasuk doktor, jururawat, paramedik, juruteknik makmal, pekerja ambulans, pekerja pentadbiran hospital dan kakitangan KKM yang dikenal pasti untuk bertugas secara rasmi bagi menangani penularan wabak Covid-19,” jelas Adnan.

Menurutnya, melalui dana ini terdapat dua tuntutan boleh dikemukakan iaitu Pembayaran Ihsan dan Elaun Pelepasan.

“Pembayaran Ihsan dibayar sekiranya berlaku kematian petugas barisan hadapan sahaja. Sejumlah RM 40,000 akan dibayar sekiranya kematian disebabkan oleh jangkitan Covid-19.

“Sejumlah RM 10,000 akan dibayar sekiranya kematian akibat lain-lain sebab. Untuk Elaun Pelepasan, tuntutan akan dibayar sekiranya petugas barisan hadapan dan ahli keluarga mereka dimasukkan ke mana-mana hospital kerajaan akibat jangkitan Covid-19.

“Selain itu, sejumlah RM 10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke ICU manakala sejumlah RM2,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke wad biasa,” ujar beliau.

Katanya, kelayakan bagi pembayaran elaun pelepasan bagi wad biasa akan bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh KKM yang dibuat berdasarkan pengesyoran oleh Ketua Jabatan petugas barisan hadapan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM.

Dalam pada itu, Adnan menambah, ahli keluarga adalah termasuk pasangan sah, anak-anak dan ibubapa.

“Anak-anak mestilah berusia tidak kurang dari 25 tahun, belum berkahwin dan tidak bekerja. Pembayaran dari dana ini hanya untuk petugas barisan hadapan yang dijangkiti virus Covid-19 sewaktu bertugas.

“Manfaat ini percuma bermula 1 April lalu sehingga 31 Disember 2020 atau sehingga dana khas terbabit habis diguna pakai. Maklumat lanjut mengenai dana ini boleh dirujuk melalui laman web www.cc4usolutions.my,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat