KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Albert Tei yang mendedahkan dakwaan skandal perlombongan di Sabah akui kecewa dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum memutuskan sama ada untuk mendakwa enam lagi Adun yang dikaitkan.
Memetik Malaysiakini, dia mengingatkan pihak terlibat supaya tidak cuba menunggang pendedahannya sebagai rundingan politik menjelang pilihan raya negeri Sabah.
“Saya ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat, terutamanya kepada pemimpin politik yang berkuasa hari ini.
“Jangan engkau cuba menunggang pendedahan dan aduan saya sebagai bahan tawar-menawar atau ugut-mengugut dalam rundingan serta kepentingan bagi agenda politik kamu di Sabah.”
“Jika SPRM dan peguam negara sanggup ditunggang oleh pemimpin politik kerajaan tertentu untuk memenuhi kerakusannya, saya akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya serta tindakan susulan yang agak luar biasa untuk mengangkat skandal ini ke peringkat global.
“Saya hanya mahu menuntut keadilan untuk diri saya sendiri, saya akan melawan sesiapa pihak yang cuba menghalang atau berniat untuk menutup kes tersebut,” katanya menurut portal itu.
Albert Tei berkata selepas skandal itu diketengahkan oleh Malaysiakini pada November lalu, dia dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selama tujuh hari.
“Hari yang paling sukar bagi saya adalah pada 13 Mac tahun ini, saya telah dirakam keterangan sejak jam 10 pagi sehingga 9 malam selama 11 jam di ibu pejabat SPRM Putrajaya ditemani dengan peguam saya Mahajoth Singh.
“Saya telah menyerahkan banyak rakaman video yang ditangkap melalui kamera pengintip, hampir 300 muka surat bukti seperti jejak wang, rekod bank, pelbagai dokumen, surat-menyurat bertulis, masa dan lokasi kejadian kepada SPRM.
“Saya juga menyerahkan telefon bimbit saya yang mengandungi rekod perbualan WhatsApp dengan kesemua suspek lapan Adun dan seorang speaker DUN kepada SPRM,” katanya.
Albert Tei berkata, dia malah mengemukakan bukti “lebih kukuh” menyokong serta mengesahkan elemen dan unsur rasuah berkaitan enam orang itu, berbanding Andi Suryady Bandy dan Yusof Yacob yang telah dituduh di mahkamah.



