Enggan usul nama, sampai masa Pas akan jadi PM

KUALA LUMPUR – Pas kekal dengan pendirian untuk tidak akan menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu buat masa ini, namun menyatakan pemimpin mereka akan menggalas tanggungjawab besar itu tidak lama lagi.

Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Ahmad Yahaya berkata, kaedah Pas tetap seperti sebelum-sebelum ini iaitu berusaha untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) terlebih dahulu dengan matlamat menambah bilangan kerusi Parlimen.

Katanya, Pas juga tidak pernah mengusulkan mana-mana pemimpin untuk menjadi Menteri Besar di negeri-negeri yang dimenangi mereka sebelum ini, sebaliknya jawatan itu hanya dibincangkan selepas memenangi pilihan raya negeri (PRN).

“Pandangan saya ialah sampai masa Pas akan menjadi Perdana Menteri. Sebagai mana contoh di negeri-negeri, Pas tidak pernah ada usul untuk siapa jadi Menteri Besar. Tapi bila sampai masa, mewakili Pas ada orang yang angkat sumpah sebagai Menteri Besar.

“Jadi, untuk Malaysia pun begitulah sampai masa akan ada orang (daripada Pas) yang ditentukan sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui semasa meninjau Muktamar Tahunan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah, lapor Utusan di Alor Setar malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini yang mengusulkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 daripada parti itu.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, ahli dan kepimpinan Bersatu berhak mengumumkan usul itu memandangkan ianya dibuat pada mesyuarat parti itu mengenai pandangan terhadap masa depan negara.

“Cuma pada Pas mudah sahaja. Fokus utama kita ialah menang. Jadi, untuk itu pastikan jentera pilihan raya, pastikan juga kerja yang terbaik dan tumbang dahulu kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) ini.

“Maka selepas itu, insya-Allah akan ditentukan orang yang layak. Lebih-lebih lagi, jawatan Perdana Menteri ini adalah jawatan yang mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja Bersatu malah Gerakan juga berhak untuk mencalon atau mengusulkan sesuatu namun dalam konteks Perikatan Nasional (PN) keputusan mesti dibuat secara bersama.

Ketika ditanya bila Pas akan menjadi Perdana Menteri, Ahmad sambil memetik pepatah Arab yang bermaksud ‘tiap-tiap benda yang kita tuju pergi kepada dia itu, dekat’ menyatakan sebagai tempoh itu tidak lama lagi.

Tambahnya, Pas bagaimanapun tidak akan mengumumkan calon Perdana Menteri mereka pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 ketika ini kerana mahu memberi fokus kepada memperkasakan parti.

Ujar beliau, tidak mustahil juga untuk Pas mengetuai PN kelak berdasarkan beberapa pertimbangan termasuk tokoh yang ada dalam parti itu dan jumlah kerusi dimenangi mereka.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat