CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga penyampai berita Nightline TV3, Muhammad Zaman Goh Abdullah atau Raymond Goh yang meninggal dunia pagi tadi.
Turut sama menzahirkan ucapan takziah, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seri Paduka berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia penyiaran negara.
“Seri Paduka baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” demikian menurut catatan di Facebook Istana Negara.
Terdahulu, Raymond Goh, 62, dilaporkan kritikal akibat diserang penyakit angin ahmar dan dimasukkan ke sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor pada 30 Ogos lepas.