Dewa 19 julang erti persahabatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiga tahun lalu, konsert ‘reunion’ Dewa 19 di Stadium Malawati, Shah Alam, ‘cacat’ tanpa kehadiran salah seorang anggota, Ahmad Dhani, yang ketika itu menjalani hukuman di Penjara Cipinang, Jakarta Timur, selama 18 bulan.

Ahmad Dhani dijatuhkan hukuman selepas didapati bersalah memuat naik entri berbaur hasutan dan membangkitkan rasa kebencian terhadap individu dan kumpulan melalui Twitter.

Jumaat lalu, kehadiran kumpulan yang berasal dari Surabaya, Indonesia ini ke Kuala Lumpur umpama membalas dendam atas kekurangan lalu.

Siri jelajah Dewa 19 di Kuala Lumpur menyaksikan band itu tampil dengan lima vokalis hebat iaitu Ello, Virzha, Once Mekel, Ari Lasso dan Ahmad Dhani. Foto NSTP Asyraf Hamzah
Siri jelajah Dewa 19 di Kuala Lumpur menyaksikan band itu tampil dengan lima vokalis hebat iaitu Ello, Virzha, Once Mekel, Ari Lasso dan Ahmad Dhani. Foto NSTP Asyraf Hamzah

 

Julung kalinya, band itu tampil dengan lima vokalis hebat iaitu Ello, Virzha, Once Mekel, Ari Lasso dan Ahmad Dhani lantas melakar sejarah tersendiri buat peminat yang digelar Baladewa dan Baladewi.

Benar, bukan mudah mengumpulkan mereka disebabkan masing-masing ada komitmen sendiri.

Namun, atas nama persahabatan, segala halangan diketepikan demi menjayakan rangka Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Terbahagi kepada beberapa segmen utama, kemunculan Virzha dan Ello sebagai pembuka tirai bagai acara pemanas badan apabila mereka berpadu suara menyanyikan lagu berirama rancak dan bertenaga seperti Restoe Boemi, I Want To Break Free dan Still I Am Sure We’ll Love Again.

Usai bergandingan, Ello dan Virzha tampil solo seraya membuktikan mereka memiliki pesona sendiri biarpun hadir terkemudian daripada Ari Lasso dan Once.

Kedinginan malam akibat hujan terus dihangatkan dengan aksi solo Once mendendangkan tujuh lagu yang cukup dekat di hati peminat. Antara dendangan itu adalah Roman Picisan, Arjuna, Lagu Cinta, Mistikus Cinta dan Dewi.

Ternyata, pada usia melewati separuh abad, energi dan keghairahan yang ditunjukkan penyanyi tinggi lampai ini sangat luar biasa.

Malah, lontaran vokal ketika menyanyikan lagu bernada tinggi sangat mengagumkan.

Sebagai antara individu yang membesar pada era Once menyertai Dewa 19, kira-kira dua dekad lalu, segmen inilah yang paling membekas dalam hati.

Teruja dengan sambutan yang diberi, ungkapan ‘Terima Kasih Kuala Lumpur’ kerap dilaungkan Once sebagai tanda penghargaan kepada penyokong tercinta.

Sebelum menyerahkan pentas kepada Ari Lasso, sempat Once mengusik penonton dengan bertanyakan apakah mereka sudah betul-betul ‘panas’ kerana jika tidak, vokalis pertama kumpulan itu enggan keluar menghiburkan mereka.

Sebaik kelibat Ari Lasso muncul, sorakan penonton bergema memenuhi ruang menandakan betapa tidak sabarnya mereka melihat vokalis ini beraksi.

Melantunkan lagu hit seperti Elang, Kangen, Kirana, Elang serta Cinta Kan Membawamu Kembali, pemilik nama lengkap Ari Bernadus Lasso, 49, ini menjadikan persembahannya sebagai momen intimasi bersama peminat.

Walaupun persembahannya barangkali tidak semantap rakan-rakan lain, namun, ia tidak sekali-kali menjatuhkan momentum konsert.

Peminat rata-ratanya tahu Ari Lasso baru disahkan bebas daripada kanser Limfoma yang dihidapinya sejak awal tahun lalu.

 

Biarpun tidak menyanyikan banyak lagu, Ahmad Dhani tetap mencuri tumpuan pada konsert Dewa 19 di Axiata Arena, Jumaat lalu. Foto NSTP Asyraf Hamzah
Biarpun tidak menyanyikan banyak lagu, Ahmad Dhani tetap mencuri tumpuan pada konsert Dewa 19 di Axiata Arena, Jumaat lalu. Foto NSTP Asyraf Hamzah

 

Meskipun kemunculannya boleh dianggap sebagai selingan dan tidak menyanyikan banyak lagu, namun, Ahmad Dhani mencuri tumpuan.

Aksi selamba menyuruh peminat menyalakan lampu di telefon pintar sebelum menyanyikan lagu Hadapi Dengan Senyuman adalah antara momen yang cukup indah untuk dikenang.

Suami kepada penyanyi Mulan Jameela ini berjaya membuat seluruh stadium menjadi gegak gempita menerusi lagu popularnya, Sedang Ingin Bercinta.

Meskipun bukanlah konsert terbaik, namun, mesej positif yang boleh dipelajari daripada band ini adalah semangat juang serta keghairahan untuk terus mempertahankan nama Dewa 19 sebagai kumpulan legenda yang disegani.

Pada malam itu, tiga layar LED membawa penonton menyusuri perjalanan tiga dekad band terbabit secara ringkas menerusi tayangan visual dari awal penubuhan hingga sekarang.

Nostalgia dipupuk sejak 30 tahun memang mahal. Di sebalik kejayaan dikecapi, Dewa 19 tidak terlepas daripada kontroversi dan anggota kumpulan yang bertukar ganti.

Namun, dek ikatan persaudaraan terjalin, semua perbezaan pendapat serta ego sanggup diketepikan. Mereka percaya nilai itulah yang berjaya meletakkan kedudukan Dewa 19 seperti hari ini.

Memenuhi permintaan luar biasa peminat, konsert yang pada awalnya

dirancang satu sesi, ditambah satu malam lagi, Sabtu lalu.

Konsert dibawakan Icon Entertainment ini disokong Hot FM dan Buletin FM sebagai radio rasmi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat