KUALA LUMPUR – Salah satu daripada empat tuntutan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah penglibatan pasukan petugas khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam siasatan kes kematian pelajar itu.
Peguam Shahlan Jufri berkata, pada 5 Ogos lalu, mereka telah menyerahkan empat permohonan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) antaranya meminta agar siasatan dikendalikan oleh pegawai penyiasat yang berpengalaman dari Bukit Aman.
“Perkembangan ini diharap dapat membuka ruang kepada pendedahan sebenar mengenai kematian Zara serta membuktikan sama ada terdapat unsur jenayah yang menjadi punca kematian beliau,” lapor Utusan pada Selasa.
Selain itu, permohonan lain termasuk mengembalikan kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dibuka kembali dan penggalian semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan untuk menentukan punca kematian sebenar.
Mereka juga turut menuntut agar satu inkues diadakan untuk menyiasat sama ada kematian Zara Qairina melibatkan unsur jenayah.
Sebelum ini, polis mengesahkan pasukan khas dari Bukit Aman dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes pelajar sekolah agama tersebut.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Unit Komunikasi Korporat PDRM berkata, pasukan khas tersebut membabitkan sembilan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.
Pada 31 Julai, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur buli dalam kejadian berkenaan.



