Mahkamah buktikan Yusoff Rawther dizalimi dengan perangkap dipasang awal, Pas ucap tahniah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan tahniah kepada bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther sejurus Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Menurut ahli Parlimen Pasir Mas itu malah memberitahu, mahkamah buktikan Yusoff Rawther dizalimi dengan perangkap yang dipasang awal.

“Tahniah Yusoff Rawther. Mahkamah buktikan beliau dizalimi dengan perangkap yang dipasang awal.

“Saya syorkan beliau saman pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali gus supaya dapat dibongkarkan siapa yang keluarkan arahan untuk letakkan kanabis dan pistol palsu itu.

“Tidak logik kanabis itu datang turun dari langit, dari mana ia datang, mesti ada tangan yang meletakkan. Tentu ada pihak yang keluarkan arahan. Saudara Yusoff boleh saman. Saya yakin polis sendiri tidak mahu bersekongkol dengan tindakan zalim ini.

“Jangan kerana arahan sebegini, rosak nama polis yang sangat komitmen selama ini. Bersihkan nama instituti kepolisan negara,” saran Fadhli.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Dia juga menghadapi satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 28 April lalu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 13 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 7 April lalu.

Antara saksi ialah Ketua Serbuan Ops Laras yang juga pegawai polis di Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, 37.

Saksi lain adalah Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Inspektor Muhammad Zuhairi Md Zuhir, 36, dan ahli kimia, Harlisa Haidhir Harminder daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan turut menawarkan tujuh saksi kepada pasukan pembelaan sekiranya tertuduh diperintah membela diri.

Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat