Hanya ibu Zayn Rayyan dibawa ke mahkamah, peguam bantah tindakan polis cuba rekod pengakuan di mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kedua-dua peguam yang mewakili ibu Zayn Rayyan, telah membantah permohonan polis untuk merekodkan pengakuan anak guam mereka di Mahkamah Majistret 2, di Petaling Jaya.

Dua peguam tersebut, Mahmud Abdul Jumaat dan Fahmi Abdul Moin, berkata bantahan tersebut dilakukan atas alasan polis cuba menggunakan akta tidak relevan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan untuk prosiding tersebut.

Selain itu, mereka berdua menegaskan, tiada sebarang notis diberikan dari pihak pegawai penyiasat kepada mereka selaku peguam terhadap prosiding yang dilakukan secara tertutup itu.

“Jadi bantahan pertama yang direkodkan (di hadapan majistret), mahkamah sedia maklum bahawa kami (peguam) tidak dimaklumkan. Dan juga atas sebab tidak ada apa apa peruntukan khusus.

“Kami tegaskan ia adalah prejudis sama ada terhadap Isma (ibu) atau Zaim (bapa).

“Ketiganya, yang menjadi asas bantahan kami juga, bahawa permohonan ini boleh menjejaskan apa-apa defense (hujah pembelaan) sekiranya dituduh, itu pun kalau dituduh,” kata Fahmi memetik Awani pada Rabu.

Terdahulu media difahamkan ibu Zayn Rayyan selaku salah seorang orang yang disyaki (OYDS) dalam kes kematian kanak-kanak malang itu, akan dibawa ke mahkamah majistret untuk direkodkan pengakuan.

Bagaimanapun, Mahmud berkata, anak guam mereka bersetuju untuk hadir dengan tujuan membetulkan pengakuan yang telah dibuat sewaktu dalam tahanan reman baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pada awalnya sewaktu mereka tiba di luar kamar tersebut, pegawai penyiasat berkata pengakuan akan dilakukan mengikut Seksyen 26 Kanun Tatacara Jenayah.

Untuk rekod, seksyen tersebut menyataan bahawa pengakuan salah oleh tertuduh semasa dalam jagaan polis tidak boleh dibuktikan bagi menentangnya.

Ia dinyatakan di bawah Peruntukan 26 (1) – Tertakluk kepada apa-apa peruntukan nyata yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, tiada pengakuan salah yang dibuat oleh mana-mana orang semasa dia berada dalam jagaan seseorang pegawai polis boleh dibuktikan bagi menentang orang itu melainkan jika pengakuan salah itu dibuat di hadapan seorang Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret.

Fahmi pula berkata, permohonan bantahan mereka telah direkodkan, dan mereka akan menggunakannya sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, buat masa ini pihak peguam akan menunggu esok, iaitu hari terakhir reman, untuk mengetahui jika kertas siasatan telah lengkap dan pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mewujudkan pendakwaan atau membebaskan ibu bapa Zayn Rayyan.

Untuk rekod, hanya ibu Zayn Rayyan dibawa ke mahkamah majistret hari ini, manakala bapanya terus dalam tahanan reman.

Pada Selasa, pasangan suami isteri itu dibawa di kediaman serta lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan sebagai sebahagian daripada proses melengkapkan siasatan kes.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ia antara prosedur perlu dilaksanakan sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, perkembangan lanjut sama ada siasatan kes itu sudah lengkap atau sebaliknya serta status reman ibu bapa kanak-kanak berkenaan akan dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Pada Isnin, ibu Zayn Rayyan dibawa semula ke kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai serta lokasi mayat ditemukan berhampiran rumah mereka, dipercayai untuk melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak sehingga mayatnya ditemui.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, yang juga kanak-kanak autistik ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat