Dewan Rakyat Bahas Laporan Tahunan, Penyata Kewangan SUHAKAM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Kerajaan Perpaduan hari ini membentangkan usul serta membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia bagi membolehkan Ahli Parlimen berbahas secara matang dalam usaha memperkukuh pemeliharaan hak asasi manusia.

“Kerajaan pada hari ini berpendirian bahawa perlu ada iltizam politik, bukan sahaja sekadar membentangkan Laporan Tahunan SUHAKAM di dewan yang mulia ini tetapi laporan juga perlu dibahas serta disusuli dengan cadangan dan langkah penyelesaian bagi isu yang telah dibangkitkan.

“Kerajaan MADANI yakin serta percaya bahawa sesi perbahasan ini akan memberi ruang dan peluang kepada semua lapisan masyarakat supaya suara mereka didengar melalui wakil rakyat masing-masing, “ katanya ketika membentangkan laporan itu.

Beliau berkata Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM bagi tahun 2020 telah dibentang di Dewan Rakyat pada 25 Mei lepas namun tidak dibahas.

Laporan itu mengandungi tujuh bab yang menjelaskan aktiviti sepanjang tahun 2020 serta butiran terperinci pentadbiran dan kewangan termasuk berkaitan Orang Asli/Asal, isu pemerdagangan orang, pelarian serta pencari suaka, perniagaan dan hak asasi manusia selain Islam dan hak asasi manusia.

Azalina juga berkata pelbagai perundangan telah dipinda bagi usaha reformasi undang-undang demi perjuangan hak asasi manusia termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat.

Beliau berkata Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 juga dipinda untuk memberi lebih perlindungan kepada golongan itu secara keseluruhan dengan kerajaan turut mempertimbang beberapa penambahbaikan serta pindaan lanjut kepada akta sama sebagai Fasa II dalam sesi Parlimen akan datang.

Katanya sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan hak asasi manusia terus terjamin dan terpelihara, Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan 2.0 (NHRAP 2.0) juga sedang dipertimbang.

Azalina berkata pelan itu akan meliputi integrasi lebih utuh dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, kesihatan, perumahan, khidmat sosial dan pentadbiran. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat