Sulaiman masih Ketua Menteri Melaka, tak letak jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menafikan sudah melepaskan jawatan susulan dakwaan kononnya beliau dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu menegaskan, dakwaan terbabit tidak benar serta berniat mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri dipimpinnya sejak Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), November tahun lalu.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk kepimpinan (parti dan negara).

“Saya menafikan dakwaan bahawa saya sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15,” katanya memetik laporan BH pada Khamis.

Ini adalah kenyataan rasmi beliau selepas isu paksaan supaya beliau melepaskan jawatan terbabit dibangkitkan media sejak minggu lalu.

Beliau berkata, isu seperti itu tidak sepatutnya timbul terutama ketika UMNO dan BN negeri sedang memberi fokus bagi memperkukuhkan usaha serta tenaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli politik negeri bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya satu kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik.

“Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya menyeru supaya kita semua muhasabah demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi PRU-15 akan datang.

“Kita mempunyai agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini. Saya orang parti dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang sudah dibuat oleh parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, selepas memenangi PRN lalu, beliau bersama barisan EXCO dan anggota pentadbiran kerajaan negeri sentiasa berusaha gigih melaksanakan program pembangunan serta memenuhi aku janji yang dibuat.

Katanya, segala usaha terbabit adalah untuk memastikan Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang setanding dengan negeri serta negara maju yang lain.

“Ketika ini saya bersama EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina bagi mengetuai misi pelaburan negeri dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022, sekali gus melihat peluang pelaburan baharu negara Balkan itu di samping mengambil kesempatan untuk menarik pelaburan asing ke Melaka.

“Pada masa sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di Melaka, baik daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahu pun daripada segi perkembangan politik tanah air,” katanya.

Ahad lalu, pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman dilapor tidak menafikan wujud paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

Kenyataan itu susulan dakwaan yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula menafikan khabar angin itu serta menganggapnya sebagai fitnah dan tidak berasas.

Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 November tahun lalu selepas BN menang 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat