PKR Besut Dakwa 11 Calon Tanding Pemilihan Parti Adalah Ahli Pejuang

- Advertisement -

BESUT – Seramai 1,250 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Besut akan memboikot proses pengundian bagi pemilihan parti sesi 2022 – 2025 yang berlangsung pada Jumaat ini kerana mendakwa 11 calon yang bertanding dalam pemilihan itu merupakan ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ketua Cabang PKR Besut, Mohd Nor Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi menuntut pemilihan yang lebih telus memandangkan tiada sebarang tindakan selepas aduan berhubung perkara itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

“Aduan dan bukti mengenai keahlian mereka (keanggotaan parti Pejuang) telah dipanjangkan kepada JPP untuk proses pemutihan namun sehingga kini masih belum ada tindakan diambil.

“Sedangkan sebelum ini tindakan kepada anggota tulen dibuat dengan mudah seperti dipecat keahlian, digantung dan diberi amaran tunjuk sebab tanpa sebarang notis kepada anggota terlibat dalam kes salah laku di peringkat parti,” katanya dalam kenyataan, disini, pada Khamis.

Beliau menjelaskan, pihaknya yakin dokumen deklarasi dan pengakuan calon yang menawarkan diri bertanding tidak dikuatkuasakan menyebabkan perkara itu berlaku.

“Deklarasi itu menyatakan bahawa setiap calon yang menjadi anggota PKR tidak menjadi ahli mana-mana parti politik lain.

“Selain itu, ia juga menyatakan persetujuan calon bahawa parti atau JPP mempunyai hak untuk membatalkan kelayakan pada bila-bila masa sebelum atau selepas pemilihan jika pengisytiharan dibuat didapati tidak benar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mendesak pemilihan parti di peringkat Cabang Besut ditangguhkan sehingga proses pemutihan dan penapisan calon selesai.

“Kami mendesak JPP melakukan pemutihan dan menghalang anggota parti lain bertanding sebarang jawatan dalam PKR. JPP juga wajib diberi kuasa untuk menjalankan tugas secara bebas, adil dan tidak berpihak kepada sesiapa pun,” katanya.

Proses pengundian pemilihan PKR akan dilaksanakan secara hibrid iaitu pada 13 hingga 17 Mei (secara fizikal) manakala pada 18 hingga 20 Mei (secara dalam talian). – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat