BACHOK – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan kini mengisytiharkan ‘perang’ terhadap amalan salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam oleh individu yang mengambil kesempatan daripada kedudukan dalam kerajaan, termasuk pegawai dan ahli politik.
Berucap ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok, Anwar menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mereka yang menyalahgunakan tender kerajaan dan merompak kekayaan negara untuk kepentingan peribadi.
“Saya isytihar perang dalam perkara ini. Saya tidak izinkan mana-mana pegawai atau orang politik guna peruntukan kerajaan untuk salah guna tender dan ‘sakau’ untuk kekayaan diri mereka,” tegas beliau.
Anwar turut melahirkan kebimbangan bahawa sekiranya gejala ini dibiarkan, negara akan kehilangan kekayaannya akibat sikap tamak dan ketamakan segelintir individu.
“Kekayaan negara akan hilang begitu sahaja kerana masing-masing sibuk nak kayakan diri sendiri,” ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau juga menekankan bahawa jawatan dalam kerajaan tidak sepatutnya menjadi pintu mudah untuk mengumpul harta, sebaliknya perlu digunakan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.
“Nak berniaga, berniaga betul-betul, tapi kalau guna kedudukan dalam kerajaan, saya tak izinkan. Ini bukan jawatan untuk jadi kaya, bukan perdana menteri mesti kaya,” katanya.
Mengulas dakwaan wujud pilih kasih dalam proses pendakwaan kes-kes rasuah, Anwar menjelaskan bahawa sistem keadilan negara berjalan secara bebas dan mengikut undang-undang sedia ada.
“Walaupun ada yang kata pilih kasih, itu bukan kerja saya. Yang menyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mendakwa peguam negara, dan yang putuskan (hukuman) mahkamah,” katanya lagi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pemimpin tempatan dan masyarakat setempat, yang memberi sambutan hangat terhadap mesej integriti dan ketegasan Perdana Menteri dalam membanteras rasuah.