Gelagat enam sahabat bawah satu bumbung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gelagat enam sahabat yang bertugas di pelbagai jabatan di bawah Media Prima Berhad (MPB) dipaparkan melalui filem Seindah Kasih The Movie yang diterbitkan bagi menyemarakkan kempen Seindah Kasih yang dilancarkan MPB sejak 12 Mac lalu.

Ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Tonton mulai hari ini, Seindah Kasih The Movie yang dikategorikan Filem Tonton Original, diarah Nik Amir Mustapa yang cukup terkenal dengan karya hebat termasuk terbaharu, Imaginur dan beberapa filem lain seperti Nova, KIL, Rise: Ini Kalilah dan Terbaik Dari Langit.

Seindah Kasih The Movie turut mendapat sentuhan Ariff Zulkarnain yang juga pengarah drama One Cent Thief.

Filem itu menampilkan barisan pelakon hebat iaitu Syafiq Kyle, Mimi Lana, Siti Saleha, Anas Ridzuan, Shasha Abedul, Mubarak Majid, Luqman Hafidz dan Faleeq Fareez.

Seindah Kasih The Movie mengisahkan krisis perhubungan antara enam watak yang cukup ketara dalam kesibukan Ramadan.

Watak Nazmi lakonan Syafiq Kyle, iaitu wartawan akhbar, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Alia (Mimi Lana) yang berkhidmat di unit digital.

Perbalahan tercetus apabila Alia mengadaptasi laporan Nazmi ke laman TikTok tanpa memberi ‘credit’ atau perakuan bahan terbabit diambil daripada sumber lain.

Di Unit Televisyen (TV) pula, watak Sharifah yang dihidupkan Siti Saleha memperlihatkan tugas digalas dirinya sebagai penerbit.

Namun, Sharifah amat bergantung kepada pembantunya, Nina yang dilakonkan Shasha.

 

Siti Saleha melakonkan watak Sharifah sebagai penerbit program TV dalam Seindah Kasih The Movie.
Siti Saleha melakonkan watak Sharifah sebagai penerbit program TV dalam Seindah Kasih The Movie.

 

Sementara itu, di konti radio, Jamal lakonan Anas menempa nama sebagai duo komedi bersama rakannya, Khairul lakonan Luqman.

Khairul melebarkan sayap untuk menjadi pelakon filem. Namun, perbalahan mula tercetus apabila mereka bergaduh ketika bersiaran.

Seindah Kasih The Movie juga menceritakan kisah antara Meor lakonan Mubarak dan cucunya, Rauf yang dihidupkan Faleeq.

Sangkaan Meor, cucunya itu menjadi pendiam kerana kecewa bapanya terpaksa bekerja di luar negara pada Ramadan.

Namun, hakikatnya, Rauf asyik dilamun cinta. Mampukah setiap daripada mereka ini menyelesaikan kemelut dihadapi?

Selain filem Seindah Kasih The Movie, aktiviti lain yang turut berlangsung sepanjang kempen Seindah Kasih adalah Skuad Seindah Kasih x Jom Ronda yang dilancarkan sejak 22 Mac hingga Ahad ini.

Acara selama empat minggu sepanjang Ramadan itu mendapat kerjasama pasukan Jom Ronda di mana kru melawat seluruh Semenanjung untuk berkongsi kegembiraan.

Pada siri jelajah itu, Skuad Seindah Kasih mengedarkan pek berbuka puasa dan kit penjagaan khas kepada rumah anak yatim terpilih, rumah orang tua atau rumah persaraan dan kawasan sasaran B40.

Pek berbuka puasa memberi manfaat kepada mereka yang kurang bernasib baik termasuk ibu tunggal dan keluarga miskin.

 

Watak Jamal lakonan Anas dan Khairul dibawa Luqman sebagai penyampai radio dalam Seindah Kasih The Movie menambah warna kepada jalan cerita.
Watak Jamal lakonan Anas dan Khairul dibawa Luqman sebagai penyampai radio dalam Seindah Kasih The Movie menambah warna kepada jalan cerita.

 

Selain itu, aktiviti gotong-royong dan sesi takzirah bersama tokoh agama terkenal seperti Ustaz Safwan Idris, Da’i Aiman, Ustaz Azam Al-Kankari dan Tajdid Hadhari turut dianjurkan.

Selain itu, program Diari Alia, iaitu diari digital yang mengikuti kisah Alia, petugas di cabang digital, Rev, dalam mengejar cita-cita menjadi pempengaruh media sosial, turut disajikan.

Sepanjang Ramadan, Alia menjelajah ke beberapa negeri di Semenanjung bersama Skuad Seindah Kasih x Jom Ronda untuk berbakti kepada masyarakat.

Sepanjang perjalanan, Alia berharap bertemu erti cinta dan kemaafan, sambil mencatat pemerhatian yang menarik dalam perjalanannya.

The Seindah Kasih Show pula disiarkan secara langsung pada 18 Mac lalu selama 60 minit, mengetengahkan program Ramadan di TV, klip eksklusif di sebalik tabir, detik menyentuh hati program TV dan petua hebat untuk mempersiapkan diri mengimarahkan Ramadan.

Kempen Seindah Kasih dilancarkan sejak 13 Mac lalu sehingga 21 Mei depan.

Objektif kempen adalah untuk menyampaikan mesej kepada semua umat Islam supaya bersyukur dengan apa yang dimiliki dan bersedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Selain itu, kempen bertujuan menyatukan semua jenama MPB dan mempamerkan kehebatan MPB sebagai syarikat media nombor 1 di Malaysia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat