Yayasan Waqaf Malaysia catat kutipan RM39,550,462 – Mohd Na’im

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Amalan berwakaf sebenarnya bukanlah asing sejak dari zaman Rasulullah SAW telahpun dilaksanakan dan dimanfaatkan oleh masyarakat pada ketika itu, kemudiannya diteruskan oleh para sahabat dan berkembang semasa
kemuncak kegemilangan kerajaan Umaiyah, Abbasiyah dan Uthmaniyyah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama ) Senator Dato ’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian di majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Conference Hall 1, Sasana Kijang, Bank Negara pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia berkata, masyarakat Islam terdahulu memberi impak manfaat dalam masa yang panjang bahkan mampu menjana kekuatan ekonomi ummah.

Beliau menjelaskan, amalan wakaf di luar negara terbukti dapat menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara dalam sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Universiti Al–Azhar menjadi ikon terhadap peranan wakaf dalam masyarakat yang ditadbir sepenuhnya daripada sumber wakaf, terus maju dan berjaya menghasilkan cendekiawan yang disegani seantero dunia.

Menurutnya, penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada 2004 dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) pada 2008 sebagai pelengkap kepada usaha-usaha Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam pembangunan wakaf.

Melalui Belanjawan 2023 dan 2024, kerajaan menzahirkan iltizam dengan menjadikan Wakaf Madani sebagai kerangka untuk terus memperkasa wakaf di Malaysia.

Menurutnya lagi, kerajaan telah menyediakan pinjaman mudah RM500 juta untuk meningkatkan pembangunan tanah-tanah wakaf dan memperuntukkan RM100 juta kepada Malaysia Coinvestment Fund (MyCIF) bagi tempoh 3 tahun untuk inisiatif keterjaminan makanan dan alam sekitar bersama MAIN untuk membuka peluang pembangunan aset wakaf bagi tujuan kesihatan, pendidikan dan perusahaan asas tani.

“Antaranya, projek wakaf yang dilaksanakan oleh MAIN ialah tanaman nanas seluas 6 ekar oleh Perbadanan Wakaf Selangor di Kampung Sungai Merab, Selangor.

“Projek tanaman tembikai di Pusat Agrotourism Kampung Banggol diselaraskan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang berkeluasan 95 ekar.

“Projek wakaf kesihatan seperti pusat-pusat hemodialisis yang memberi manfaat kepada ribuan pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan pada harga yang berpatutan di Pusat Hemodialisis MAIN Johor dan Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah,” katanya.

Selain itu, projek wakaf ekonomi dan produktif seperti Kompleks Islam Sarawak di Kuching, Sibu dan Miri oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang menjana pendapatan jutaan ringgit menerusi sewaan pusat komersil, pendidikan dan ruang pejabat, ”katanya lagi.

“Usia JAWHAR dan YWM menjangkau lebih 20 tahun perlu lebih tangkas merealisasikan pemerkasaan wakaf di Malaysia dengan menggembeleng tenaga bersama MAIN melonjakkan potensi wakaf menjelang 2030.

:Antaranya menerusi penambahbaikan dan pelaksanaan transformasi dalam institusi berkaitan wakaf, pemerkasaan perundangan wakaf, penambahan sumber pendanaan dan pembiayaan wakaf dan peningkatan kesedaran dan pembudayaan wakaf,” tambahnya.

MAIN bersama syarikat-syarikat korporat melaksanakan Wakaf Ekonomi yang diaplikasikan di atas hartanah wakaf sedia ada bagi mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf atau mewujudkan aset wakaf melalui Sijil Wakaf.

Konsep ini tidak hanya tertumpu kepada bangunan semata-mata, malah merangkumi projek pertanian, perladangan dan lain-lain yang mampu membantu pembangunan ekonomi negara.

“Di bawah konsep ini, sumber dana daripada wakaf tunai untuk perniagaan boleh diwujudkan, penyalurannya kepada usahawan yang berpotensi mampu memberikan impak, kemapanan perniagaan, peningkatan pendapatan dan penyediaan peluang pekerjaan.

“Wakaf Bertempoh pula membangunkan tanah-tanah wakaf dengan penglibatan syarikat korporat, dana luar negara, GLC, GLIC dan individu memberi fokus kepada projek yang berimpak tinggi, berdaya maju dan mapan untuk meningkatkan nilai aset wakaf di seluruh negara.

Usaha penerokaan ini meliputi sektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti kesihatan, pendidikan, perumahan, sekuriti makanan dan pembangunan ekonomi serta komuniti.

“Pengagihan dana wakaf bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhan, tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

“Kementerian Kewangan (MOF), MyCIF, JAWHAR, YWM, MAIN dan lain-lain agensi disaran untuk bekerjasama agar projek-projek berimpak tinggi seperti infrastruktur, sekuriti makanan dan kesihatan dapat dilaksanakan, demi menjayakan agenda ekonomi madani,” jelasnya.

Penglibatan sektor korporat bersama JAWHAR, YWM dan MAIN dalam pembangunan inisiatif-inisiatif wakaf dapat diselaraskan dengan lebih tersusun supaya manfaat inisiatif wakaf ini dapat dirasai di semua negeri.

Menurutnya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersama YWM telah menubuhkan wakaf pendidikan tinggi bagi melestarikan budaya berwakaf di samping dapat meningkatkan motivasi mahasiswa untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekaligus menjana kepada pembangunan modal insan negara.

Usaha ini dapat mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada kerajaan sebagai sumber dana pembiayaan dalam jangka masa panjang.

“Umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah di bulan Ramadan yang penuh barakah dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, keberkatannya dapat mewujudkan kesedaran amalan berwakaf sekaligus dapat meningkatkan kutipan wakaf di YWM atau MAIN,” ujarnya.

“Apabila masyarakat faham mengenai wakaf dan kesannya dalam pembangunan sosioekonomi ummah, sokongan terhadap amalan berwakaf semakin bertambah dan akhirnya hasrat menjadikan wakaf sebagai jenama keluarga dapat direalisasikan,” ujarnya lagi.

Kutipan terkumpul wakaf tunai yang dicatatkan oleh YWM sehingga 31 Disember 2021 berjumlah RM25,679,125.87 dan sehingga 31 Disember 2023, telah meningkat sebanyak 54% kepada RM39,550,462.00

“Sejumlah RM24,694,257.45 telah diagih menerusi produk Wakaf Air bagi menyalurkan bekalan air bersih kepada masyarakat manakala RM3.5 juta telah diagihkan untuk pelaksanaan 75 projek di seluruh negara melibatkan 7,734 buah rumah yang memberi manfaat kepada 40,008 penduduk,” kongsinya.

Melalui program CIMB Islamic Rider Enterpreneur 2.0, sejumlah RM300,000 melalui dana wakaf bertempoh telah dibelanjakan bagi tujuan penyediaan motosikal dan latihan untuk 32 belia yang terkesan akibat Covid -19 sebagai penghantar makanan dan menerima pendapatan RM1,500 sehingga RM4,500 sebulan.

“Selain itu, proses dokumentasi maklumat berkaitan wakaf dalam bentuk penerbitan dan rangkuman data yang pelbagai serta terkini adalah sangat penting dan berharga

“Justeru saya menggalakkan para ilmuwan yang ada di institusi pengajian tinggi untuk menghasilkan pelbagai kajian ilmiah yang mampu memberi pedoman kepada pemain-pemain wakaf untuk bergerak dengan langkah derap yang lebih padu,” kongsinya lagi.

Hala tuju yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menggalakkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi perlu direbut supaya dapat dilaksanakan oleh semua pihak.

Sehubungan itu, JAWHAR dan Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti (MAWEZ) wajar memperkukuhkan jalinan kerjasama agar penyelidikan berkaitan wakaf dapat ditelusuri untuk menyokong perkembangan wakaf di negara ini, ”ujarnya.

“JAWHAR, YWM dan MAIN selaku pemegang amanah tunggal wakaf saling bekerjasama dalam mengurus dan melaksanakan tata kelola yang baik serta membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Menurut kenyataan JAWHAR dan YWM, sumbangan Wakaf Tunai Malaysia anjuran YWM layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang diluluskan oleh MOF.

Dalam pada itu, sesi Hi-Tea Talk ‘Wakaf Pendidikan Pemacu Malaysia Madani’ telah dikupas oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut hadir, Duta Besar Kesultanan Oman, Sheikh Al-Abbas Ibrahim Hamed Al -Harthi, Duta Besar Republik Türkiye, Emir Salim Yuksel , Duta Besar Qatar, Salah Mohamed Abdullah Busiol As -Surour, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datin Paduka Hjh. Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah JAWHAR, Dato ’ Selamat Paigo. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat