JPA akan semak semula pekeliling pemilikan saham pegawai awam, 20 tahun tak dikemas kini

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyemak semula pekeliling, peraturan dan garis panduan yang melebihi 20 tahun termasuk berkaitan pekerjaan luar dan pemilikan saham oleh pegawai awam.

JPA berkata, ia berdasarkan kepada keperluan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang berlaku dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi.

Menurut JPA, pengemaskinian itu juga menjadi agenda utama dalam Reformasi Kerenah Birokrasi yang menjadi teras kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, berorientasikan peningkatan kecekapan, integriti dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Ini bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, namun kekal seimbang antara elemen integriti dan realiti semasa, tanpa menjejaskan prinsip ketelusan serta akauntabiliti pegawai awam,” menurut JPA dalam kenyataan.

Bukan cuma itu, JPA juga memaklumkan, semua entiti kerajaan diwajibkan menyemak semula setiap instrumen kawal selia, termasuk pekeliling, peraturan dan garis panduan di bawah bidang kuasa masing-masing.

JPA berkata, semakan itu perlu dibuat dalam setiap tiga tahun, mengikut ketetapan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.

Selain itu, katanya, prosedur semakan itu juga perlu dibuat berdasarkan Pekeliling Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan Bilangan 1 Tahun 2025.

“Pekeliling, peraturan dan garis panduan melebihi 20 tahun atau pemakaiannya tidak lagi relevan ketika ini sedang diberi perhatian untuk dikemas kini, termasuk berkaitan pekerjaan luar dan pemilikan saham oleh pegawai awam.

“Ini berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang berlaku dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat