Isu rumah ibadat haram akan dibentang di Kabinet esok, perjelas situasi dan watak terlibat – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Isu pembinaan rumah ibadat haram akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sendiri akan berkongsi kepada Jemaah Menteri mengenai keadaan sebenar yang berlaku termasuk watak-watak yang terlibat dalam isu itu.

“Ia (taklimat) juga akan memaklumkan peranan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam berusaha mengawal keadaan itu. Kerana ada keadaan tindakan polis dilihat hanya dari satu kaca mata.

“Misalnya kalau ada pihak yang mengadakan perhimpunan dengan membawa topik ini, maka apabila tindakan dibuat, kadangkala dilihat sebagai tidak menghormati kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) lapor Utusan di Putrajaya pada Khamis.

Kata Menteri KDN itu lagi, kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menghasut, meniup sentimen yang boleh menyemarakkan dan menajamkan sentimen perkauman atau agama.

Jelas Saifuddin, kebebasan bersuara ada hadnya, namun malangnya ada segelintir ahli politik memilih memainkan isu itu bagi tujuan mendapatkan keuntungan politik, tanpa melihat konteks memilih keamanan dan ketenteraman awam.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, beliau mengakui isu berkenaan sudah lama wujud namun, kebelakangan ini ia kerap dimainkan semula.

“Tetapi ada watak-watak tertentu yang memilih memainkan dan memanipulasikan isu ini dengan bermain sentimen dan emosi dan mereka tidak mengangkat formula penyelesaian.

“Kalau ia berkaitan dengan status tanah pemilikan dan juga perancangan bandar, kita ada saluran undang-undang. Semua kena ikut.

“Kalau ada yang tidak ikut, biar jalur undang-undang juga dipilih sebagai penyelesaian, bukannya melalui tindakan sendiri yang jelas akan mencetuskan provokasi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat