KUALA LUMPUR, – Laporan penyiasatan Bloomberg mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah digunakan oleh sekumpulan ahli perniagaan bagi menekan dan menyingkirkan pengasas syarikat tersenarai melalui siasatan, pembekuan akaun dan tekanan undang-undang.
Menurut laporan tersebut, beberapa ahli perniagaan didakwa membeli pegangan saham dalam syarikat sasaran sebelum aduan dibuat kepada SPRM. Selepas itu, siasatan akan dimulakan terhadap pengasas atau pengurusan asal, termasuk serbuan, pembekuan akaun bank dan penahanan untuk soal siasat.
Bloomberg memetik dokumen mahkamah, laporan polis serta temu bual dengan lebih 20 individu, termasuk beberapa saksi dan pegawai semasa agensi itu, yang mendakwa wujud satu “playbook” atau modus operandi yang berulang.
Antara taktik yang didakwa digunakan termasuk menekan eksekutif supaya meletakkan jawatan, menggantung hak mengundi atau menjual saham pada harga rendah sebagai pertukaran untuk menghentikan siasatan.
Dalam satu kes yang dilaporkan, seorang pengasas syarikat produk getah mendakwa diugut ketika pertemuan dengan seorang pemegang saham baharu, yang menurut laporan polisnya menunjukkan sepucuk pistol dan menuntut dua kerusi lembaga pengarah. Individu berkenaan bagaimanapun menafikan dakwaan intimidasi dan menyifatkan pertemuan itu sebagai perbincangan perniagaan biasa.
Bloomberg turut melaporkan dakwaan bahawa pegawai tertentu dalam bahagian siasatan pasaran modal SPRM, yang dikenali sebagai “Section D”, memainkan peranan dalam beberapa kes melibatkan syarikat tersenarai kecil atau penny stocks.
Beberapa pegawai semasa yang dipetik secara tanpa nama mendakwa siasatan kadangkala disertai tekanan supaya pengurusan asal berundur, dan dalam kes tertentu, cadangan penyelesaian korporat dibincangkan ketika proses soal siasat berlangsung.
Bagaimanapun, dalam respons kepada Bloomberg, jurucakap SPRM menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan mengikut undang-undang, berasaskan bukti serta tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan pengawasan kehakiman.
“SPRM menolak sebarang cadangan bahawa siasatan dipengaruhi kepentingan swasta,” menurut kenyataan tersebut.
Laporan itu turut mengaitkan beberapa nama ahli perniagaan yang didakwa terlibat dalam percubaan pengambilalihan korporat, namun mereka menafikan kewujudan sebarang “mafia korporat” dan menegaskan bahawa mereka hanya menggunakan saluran aduan rasmi yang tersedia kepada mana-mana pihak.
Bloomberg juga menyorot isu tadbir urus dan autonomi SPRM, termasuk perbahasan lama mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya yang dibuat atas nasihat Perdana Menteri. Beberapa penganalisis dan bekas pegawai kanan yang dipetik dalam laporan itu menyatakan bahawa persepsi campur tangan atau salah guna kuasa boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta reputasi pasaran modal negara.
Malaysia sebelum ini berdepan skandal 1MDB yang menggoncang imej negara di peringkat antarabangsa, dan kerajaan sedia ada berikrar memperkukuh integriti institusi. Namun, laporan Bloomberg itu menyimpulkan bahawa dakwaan terbaharu menunjukkan cabaran reformasi institusi masih berterusan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri berhubung laporan tersebut.



