KUALA LUMPUR, — Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan merangkap ADUN Lenggeng (Barisan Nasional), Datuk Haji Asna Haji Mohd Amin menegaskan Kerajaan MADANI perlu mempertahankan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tengah-tengah kontroversi yang kembali membabitkan agensi itu.
Menurut beliau, sejak dilantik pada Mac 2020, Azam telah menunjukkan ketegasan dan keberanian dalam membanteras rasuah termasuk membongkar pelbagai kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh-tokoh penting negara.
“Ketegasan ini mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, namun ia membuktikan komitmen beliau terhadap prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat ketika SPRM dan kepimpinan Azam kembali menjadi perdebatan umum susulan laporan media antarabangsa yang memetik dakwaan kononnya wujud salah guna kuasa dalam siasatan tertentu serta isu lama berkaitan pegangan saham beliau yang pernah dibangkitkan sebelum ini.
Azam sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan menegaskan semua siasatan dijalankan mengikut undang-undang. SPRM juga berulang kali menolak dakwaan bahawa agensi itu dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.
Asna yang juga Timbalan Ketua berkata, sepanjang lima tahun di bawah kepimpinan Azam, SPRM berjaya menyita kira-kira RM3.54 bilion dan melucut hak harta bernilai RM27.87 bilion yang menurutnya telah dikembalikan kepada negara untuk dimanfaatkan rakyat.
Beliau menegaskan tindakan tegas SPRM memberi mesej jelas kepada penjawat awam dan pihak berkepentingan bahawa penyalahgunaan kuasa tidak akan dikompromi.
“Dengan ketegasan ini, mereka yang mempunyai kuasa akan rasa gentar untuk melakukan salah guna kuasa. Negara mula kembali ke landasan yang betul. Negara bebas rasuah adalah negara yang kuat, maju dan disegani di peringkat dunia,” ujarnya.
Asna turut menyifatkan rasuah sebagai “anai-anai” yang meruntuhkan negara sekiranya tidak dibasmi secara menyeluruh, termasuk jika melibatkan institusi yang sepatutnya menjaga kepentingan negara.
Beliau berpandangan keberanian SPRM di bawah pimpinan Azam telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha Kerajaan MADANI membanteras rasuah secara konsisten, bukan sekadar retorik politik.
“Di mana sahaja saya bertemu rakyat, mereka bercakap tentang keberanian SPRM menangkap ‘jerung-jerung’ yang merosakkan negara. Sokongan rakyat semakin kuat terhadap usaha ini,” katanya.
Mengakui tindakan tegas itu mungkin mencipta musuh, beliau menyifatkan Azam dan seluruh jentera SPRM kini berada dalam “zon perang” menentang rasuah.
“Sekiranya kita mempunyai seorang ‘jeneral perang’ yang berani, tegas dan mampu membawa kemenangan, kenapa perlu ditukar? Justeru, Kerajaan MADANI wajib mempertahankan Tan Sri Azam Baki,” tegasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak keras desakan yang menuntut Tan Sri Azam Baki dipecat daripada jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pegangan saham dalam syarikat.
Tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan itu, desakan pecat Azam tiada asasnya memandangkan KP SPRM itu menjalankan kerja atas kapasitinya membanteras rasuah dengan baik.



