KUALA LUMPUR, – Ancaman terhadap keselamatan negara kini tidak lagi tertumpu kepada aspek ketenteraan semata-mata, sebaliknya semakin dipengaruhi manipulasi maklumat dalam ruang digital yang mampu menggugat kedaulatan dan kestabilan negara bangsa.
Bekas Menteri Pertahanan, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berkata, perubahan landskap keselamatan menyaksikan cabaran utama hari ini datang daripada penyebaran maklumat palsu, propaganda serta kandungan mengelirukan yang tersebar pantas merentasi sempadan tanpa kawalan jelas.
Menurut beliau, kemajuan teknologi digital termasuk media sosial dan kecerdasan buatan (AI) memudahkan maklumat palsu dihasilkan, diubah suai dan disebarkan secara meluas, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa membendungnya.
“Jika masyarakat hidup terpisah dalam kelompok masing-masing dan mudah dipengaruhi sentimen perkauman atau kebencian, asas negara bangsa boleh terhakis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Keselamatan Negara Sebagai Asas Kedaulatan dan Kestabilan Negara Bangsa yang berlangsung semalam di Dewan Bestari, Aras 1, Bangunan Bestari, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Mengulas cabaran keselamatan yang semakin kompleks, beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara agensi keselamatan agar tidak beroperasi secara terasing. Jelasnya, koordinasi kukuh, sistem perkongsian maklumat yang berkesan serta proses membuat keputusan secara kolektif amat penting dalam menangani ancaman digital.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keperluan pembangunan modal insan secara berterusan bagi memperkukuh keupayaan keselamatan negara. Katanya, pegawai keselamatan masa kini bukan sahaja perlu memiliki kemahiran operasi, malah perlu dilengkapi pengetahuan luas merangkumi teknologi, geopolitik, psikologi serta aspek etika dan tadbir urus yang baik.
“Keupayaan teknikal sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disokong integriti dan kefahaman mendalam terhadap dinamika semasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan sebenar institusi keselamatan bergantung kepada tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat. Tanpa sokongan awam, sesebuah institusi boleh menjadi rapuh walaupun memiliki aset dan kepakaran tinggi.
Program anjuran Pusat Asasi Pertahanan UPNM itu turut menampilkan Prof. Ruhanah Harun sebagai panel jemputan,



