KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyanggah sebarang dakwaan salah laku atau pelanggaran peraturan dalam urusan jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kerugian yang dialami daripada penjualan tersebut.
KWSP menerusi kenyataan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan semua urusan pelaburan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Selaras dengan dasar ‘Chinese Wall’ KWSP, terdapat sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat bukan awam dan pasukan yang mengendalikan pelaburan pasaran awam bagi memastikan tiada pertindihan maklumat di antara kedua-duanya.
“Pasukan pelaburan pasaran awam beroperasi secara bebas dan membuat keputusan dagangan hanya berdasarkan kepada maklumat yang tersedia secara umum,” katanya.
KWSP turut menegaskan komitmennya terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan pelaburan termasuk pelaburan dalam MAHB.
“Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang semakan dan siasatan terhadap pelaburan kami dalam MAHB serta kekal komited terhadap ketelusan dalam pengurusan dana pencarum,” katanya lagi.
Penafian ini dibuat susulan dakwaan mengenai salah laku dalam jual beli saham MAHB yang tersebar baru-baru ini.