SPRM Tahan Pengarah Urusan Berkaitan Sindiket Rasuah Kuota Tiket Umrah

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket rasuah pengagihan kuota tiket penerbangan umrah.

Sumber berkata, suspek lelaki yang juga seorang pengarah urusan sebuah agensi pelancongan di Selangor berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini.

Katanya, suspek ketujuh itu dipercayai memberi suapan kepada suspek pertama dan kedua yang ditahan reman sebelum ini sebagai balasan membantu ejen pelancongannya mendapatkan tiket penerbangan umrah.

Menurutnya lagi, SPRM memanggil beberapa saksi dari syarikat berkaitan dan tidak menolak kemungkinan memanggil lebih ramai lagi saksi bagi membantu siasatan.

Sumber itu berkata, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM160,000, telefon mudah alih dan beberapa unit komputer riba yang digunakan suspek terbabit.

“Proses pembekuan akaun-akaun tertentu terutama akaun pelaburan amanah saham yang melibatkan isteri, bekas isteri serta anak-anak mereka turut dijalankan.

“Siasatan SPRM adalah menjurus kepada salah laku jenayah rasuah dalam kalangan pegawai-pegawai syarikat yang merupakan ejen tunggal kepada syarikat penerbangan luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, sumber berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur salah laku oleh syarikat (ejen tunggal) itu tetapi pegawai-pegawai syarikat tersebut yang memanipulasi penjualan tiket melalui ‘komisyen’ yang diminta dari syarikat- syarikat pelancongan lain untuk kepentingan sendiri.

Katanya, siasatan juga mendapati, syarikat ejen tunggal itu menyempurnakan penjualan tiket-tiket berdasarkan kepada kuota yang dipersetujui dan ditetapkan oleh syarikat penerbangan luar negara berkaitan.

Justeru, jelas sumber itu, tiada timbul kebimbangan terhadap pengurangan jumlah kuota sedia ada yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada syarikat penerbangan luar negara tersebut kerana syarikat ejen tunggal sentiasa memenuhi kuota tiket seperti yang diperuntukkan.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 15 Februari dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi yang mengesahkan tangkapan dan tahanan reman tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Pada Jumaat lalu, SPRM membongkar satu sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisyen.

Seramai enam individu berusia antara 34 tahun hingga 55 tahun yang ditahan SPRM itu terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan melibatkan enam buah syarikat dalam satu operasi khas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat