Malaysia Mampu Bangkit Jadi Gemilang Semula – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pandemik COVID-19 memberi cabaran yang besar kepada kerajaan dan rakyat, namun Malaysia mampu bangkit dan menjadi lebih gemilang pada masa akan datang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan ringkas yang dibuat melalui sidang video pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan yang diadakan secara dalam talian hari ini, Perdana Menteri berkata beliau yakin hasrat itu boleh dicapai dengan kerja keras pucuk pimpinan negara serta kerjasama seluruh lapisan masyarakat ketika ini.

“Saya percaya kedatangan tahun baharu ini akan membangkitkan iltizam yang lebih jitu dalam kalangan rakyat, khususnya masyarakat Tionghoa untuk bekerja lebih keras bagi memperoleh kejayaan atau kemenangan dalam apa juga cabaran yang dilalui,” katanya yang dikongsikan dalam hantaran Facebook rasmi beliau.

Majlis turut dihadiri isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sementara itu, Muhyiddin berkata majlis tersebut disambut meriah dan disertai semua barisan kepimpinan Gerakan termasuk ahli jawatankuasa pusat, Wanita dan Pemuda yang diketuai Presiden parti Datuk Dr Dominic Lau serta pucuk pimpinan parti komponen Perikatan Nasional (PN), iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Beliau turut berterima kasih kepada Gerakan atas jemputan menyertai majlis itu yang disifatkan amat bermakna walaupun disambut secara dalam talian kerana disesuaikan dengan suasana norma baharu ketika negara masih mendepani pandemik COVID-19.

Muhyiddin dan isteri turut menyertai tetamu lain menggaul ‘yee sang’, sejenis makanan tradisional Cina yang sinonim bagi masyarakat negara ini setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina.

“Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le dan Happy Chinese New Year,” kata Muyiddin. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat