KUALA LUMPUR – Datuk Dr Akmal Saleh berkongsi pertemuan beliau bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini.
Dalam sesi curahan hati itu Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu memaklumkan kepada Ab Rauf hasrat dan luahan isi hatinya.
“Hasrat dan isi hati telah saya luahkan kepada Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh hari ini.
“Individu yang mengenalkan perjuangan Umno kepada saya sejak dari saya menjadi pemimpin mahasiswa, individu yang banyak mengajar saya tentang dunia kepimpinan dan perjuangan.
“Terima kasih bang,jasa dan ilmu yang abg berikan tidak mampu saya balas satu-persatu, saya berbangga dapat berkhidmat bersama,” kata Ketua Pemuda Umno itu dalam perkongsian di Facebooknya pada Isnin.
Adun Merlimau itu sebelum ini pernah dilaporkan akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan selepas hasratnya mahukan Umno dan Pas menjalinkan kerjasama namun ditolak oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.



