Cyberjaya – Sebuah badan pemikir dikenali sebagai Polity telah ditubuhkan untuk menjalankan penyelidikan berasaskan bukti, memperjuangkan dasar inklusif, dan melaksanakan advokasi serta intervensi bagi mendorong perubahan yang bermakna di masyarakat.
Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar, memaklumkan bahawa Polity akan diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada 17 Februari menerusi majlis makan malam bersama Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI).
“Kami bergerak bersama komuniti untuk memastikan mereka memahami hak, dasar yang berkesan, dan program yang dapat meningkatkan kualiti hidup mereka. Kami juga akan bekerjasama dengan media bagi mempromosikan dasar dan program kami,” katanya selepas Majlis Minum Petang Bersama Polity di Kuala Lumpur.
Nurul Izzah, yang juga Pengerusi SERI, menjelaskan bahawa Polity mendapat sokongan daripada pelbagai pakar termasuk dalam bidang ekonomi, guaman, perubatan, dan teknologi semikonduktor. Badan ini memberi tumpuan terhadap isu melibatkan wanita dan belia sebagai agenda utama.
Polity turut merancang memperluas programnya ke peringkat antarabangsa, terutamanya di Asia Tenggara. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah program mengenai wanita, keamanan, dan keselamatan, dengan menjemput pakar dari Thailand dan Indonesia untuk berkongsi pengalaman membangun masyarakat yang lebih inklusif dan selamat untuk wanita.
Di Malaysia, Polity memberikan penekanan terhadap keselamatan ekonomi sebagai asas untuk membina keluarga dan masyarakat yang stabil. Menurut Nurul Izzah, situasi global seperti konflik di Gaza menjadi peringatan tentang pentingnya mencipta peluang bagi meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut mengajak orang ramai menyertai Polity sebagai sukarelawan dan pelatih untuk melaksanakan program-program yang dirancang. “Kami ingin mencipta impak yang mendalam dan memastikan perubahan bermakna dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya.