Zahid silap, tarik sokongan kepada PM boleh dilakukan tanpa “en bloc”

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi silap apabila mengatakan sebarang keputusan menarik sokongan terhadap perdana menteri mesti dilakukan secara “en bloc”, menurut seorang pakar perundangan.

Prof Dr Nik Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, yang mengetuai kluster undang-undang Majlis Profesor berkata, Ahli Parlimen tidak akan mencetuskan undang-undang anti lompat parti sekiranya menarik sokongan terhadap perdana menteri tanpa meninggalkan parti mereka.

Langkah itu serupa dengan tindakan lima Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa meninggalkan parti, seterusnya membolehkan mereka kekal di kerusi mereka.

“Hanya ada dua keadaan yang menyebabkan kerusi tidak dikosongkan. Pertama, jika Ahli Parlimen dibuang parti, dan kedua, jika keseluruhan parti menyertai blok lain,” lapor FMT.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Nor sebelum ini berkata, tidak salah jika pembangkang mengambil kesempatan atas kelompongan dalam undang-undang anti lompat parti untuk menarik Ahli Parlimen kerajaan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Jumaat lepas, Zahid berkata, sebarang keputusan untuk mengalih sokongan terhadap perdana menteri mesti dilakukan secara “en bloc” oleh parti.

Penganalisis politik Oh Ei Sun pula berkata, undang-undang anti lompat parti memberi Speaker Dewan Rakyat kuasa untuk memutuskan Ahli Parlimen mana yang boleh mengambil kesempatan terhadap kelompongan perundangan berkenaan.

Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, secara dasarnya, mana-mana ahli Parlimen yang kini menyokong Anwar boleh menarik sokongan terhadap perdana menteri tanpa meninggalkan parti, bagi mengelak mencetuskan undang-undang anti lompat parti.

Bagaimanapun, undang-undang itu sebenarnya meletakkan kuasa untuk menentukan sama ada kerusi ahli Parlimen terbabit telah dikosongkan di tangan Speaker.

“Jadi Speaker yang dilantik Anwar sebenarnya boleh menentukan bahawa mereka yang mengalih sokongan kepada Anwar masih boleh mengekalkan kerusi mereka, tetapi mereka yang menarik sokongan daripada Anwar akan hilang kerusi mereka.”

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang antilompat parti, menyatakan bahawa kerusi Ahli Parlimen akan dikosongkan apabila kekosongan luar jangka “dipastikan oleh Speaker”, mengikut syarat-syarat tertentu.

Syarat-syaratnya adalah ahli Parlimen berkenaan melepaskan keahlian dalam parti, tidak lagi menjadi ahli parti tertentu, atau menyertai parti politik lain.

Jika parti dianggotai ahli Parlimen berkenaan dibubarkan, dibatalkan pendaftaran atau memecat Ahli Parlimen berkenaan, mereka tidak perlu mengosongkan kerusi.

Nik Ahmad Kamal berkata, Speaker hanya boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat diberikan oleh parti-parti. Sebagai contoh, jika seorang Parlimen meletak jawatan daripada parti, parti berkenaan akan memaklumkannya kepada Speaker seterusnya kerusi berkenaan dikosongkan.

Bagaimanapun, Speaker boleh memutuskan kerusi berkenaan tidak dikosongkan, katanya, memetik sebagai contoh kes melibatkan empat Ahli Parlimen bekas Bersatu Sabah.

Katanya, sudah tentu keputusan Speaker itu boleh dipertikai dan dibawa ke mahkamah, seperti terjadi dalam kes empat ahli Parlimen Sabah berkenaan.

“Ini kerana keputusan Speaker semata-mata yang menjadi kata putus, jadi timbul juga persoalan sama ada Speaker membuat keputusan yang tepat atau tidak.

“Saya fikir apa yang diperlukan sekarang adalah tafsirannya – apakah yang dikatakan pergerakan atau pemindahan secara ‘en bloc’?

“Adakah bererti semua ahli parti, atau peratusan tertentu ahli Parlimen mengalih sokongan cukup diterima sebagai pergerakan en bloc?

“Perkara ini tidak dapat diselesaikan kerana peruntukan sedia ada tiada butiran mengenainya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat