Badan kehakiman terus berfungsi sepanjang tempoh darurat – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

“Badan kehakiman akan terus menjadi mercu keadilan di negara kita dan saya tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah,” katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata dalam tempoh berkenaan juga, kuasa eksekutif Persekutuan akan meliputi perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi hukum syarak dan adat Melayu, undang-undang atau adat anak negeri di Sabah dan Sarawak, agama, kewarganegaraan serta bahasa iaitu selaras dengan Fasal 6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan juga komited untuk memastikan amalan tadbir urus terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat ini.

Sementara itu, perdana menteri berkata kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan Darurat juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan bagi tempoh pandemik ini.

“Suatu ordinan boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau undang-undang penguatkuasaan lain berkaitan,” katanya.

Beliau berkata ATM juga akan diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik COVID-19 ini.

Selaras dengan Proklamasi Darurat itu, beliau berkata aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang tanpa izin dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara.

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat